Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menggesa negara Barat menolak amalan `pilih kasih’ dalam menangani konflik di Gaza.
Gesaan itu dibuat beliau ketika menyertai pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) lain di sini, dalam menyatakan sokongan kepada Ukraine.
Kerajaan Sepanyol diterajui pemimpin sosialis itu mengecewakan Israel apabila mengiktiraf Palestin dan mengkritik Tel Aviv bertindak balas dalam perang ke atas Hamas.
Bercakap pada sambutan Ulang Tahun Ke-75 Persidangan Kemuncak NATO di sini, Sanchez berkata, perkara sama perlu dilakukan di Gaza, jika mereka terus bertegas menyokong Ukraine kerana mahu mempertahankan undang-undang antarabangsa.
Katanya, perlu ada ‘pendirian politik konsisten’ yang ‘tidak mengamalkan pilih kasih’ dan dunia perlu ‘menghentikan krisis kemanusiaan mengerikan’ ke atas rakyat Palestin, selain menyeru persidangan keamanan antarabangsa diadakan bagi mendorong penubuhan negara Palestin.
Beliau juga menyokong ‘hak demokrasi, kebebasan dan mewujudkan negara seperti Ukraine’.
“Kita perlu mewujudkan syarat untuk gencatan senjata segera dan mendesak. Terdapat risiko sebenar lonjakan (peperangan) ke Lubnan,” katanya.
Pemimpin NATO pada sidang kemuncak itu turut mengeluarkan deklarasi, menyatakan Kyiv berada di laluan ‘tidak dapat dibalikkan seperti sedia kala’ untuk menyertai pakatan berkenaan. – Berita Harian