Lebih 15 jam durasi podcast telah saya dengar berkenaan Yahya Sinwar (Abu Ibrahim). Dari sahabat se-biro politik, rakan di dalam tahanan dan rakan sewaktu beliau remaja.
Ada beberapa sifat yang konsisten tentang Abu Ibrahim serta kisah yang amat menarik yang menjadikan beliau daripada sekadar figura tempatan terus melonjak menjadi figura antarabangsa.
Antara lima noktah menarik:
- Fokus pada objektif walaupun cagarannya besar
Sejak dari bangku sekolah sehingga beliau gugur dengan mulia, inilah sifat yang sering disebut oleh rakan-rakannya. Bukti paling nyata ialah peristiwa 7 Oktober. Tanpa beliau, tidak ada pemimpin yang berani membuat keputusan maha berat itu.
- Ejen penyatu umat
Di dalam penjara, beliau bergaul dengan semua faksi tanpa mengira latar belakang—sosialis, Marxis, nasionalis, Kristian—semua beliau santuni.
Yang paling mengharukan, ketika seorang aktivis dari sayap kiri gugur di Gaza, beliau membuat tribut dengan memuji segala kebaikan yang ada pada gerakan PFLP yang sepatutnya Hamas dan Al-Qassam contohi. Kesannya, selepas 7 Oktober, semua faksi perjuangan bersatu di belakang Abu Ibrahim.
- Seorang yang abid
Sejak di dalam tahanan, Abu Ibrahim akan bangun dua jam sebelum Subuh untuk berqiyamullail. Ini adalah rutin wajib beliau. Bahkan, di dalam penjara, sel beliau dikenali sebagai Sel Mekah dalam kalangan tahanan kerana kuatnya beliau beribadat. Zikir dan istighfar menjadi makanan rohani beliau.
Bahkan, sewaktu menjadi pemimpin tertinggi, jika beliau belum selesai wirid ma’thurat, beliau akan mengasingkan diri daripada khalayak ramai untuk menyelesaikannya.
- Pencinta ilmu
Di penjara, beliau mengasaskan Madrasah Yusufiyah (inspirasi daripada Nabi Yusuf AS). Beliau dan rakan-rakan mengadakan daurah, satu semester selama enam bulan.
Abu Ibrahim menjadi tenaga pengajar Bahasa Arab, Bahasa Ibrani, dan strategi keselamatan. Bahkan, beliau ialah pencinta buku dan sangat rajin mutalaah khususnya berkaitan sastera serta buku Bahasa Ibrani.
- Pemimpin yang turun padang
Seorang ahli Biro Politik Hamas pernah bercerita bahawa suatu hari dia masuk ke pejabat Abu Ibrahim dan ternampak lengannya berbalut. Dia bertanya mengapa.
Pada mulanya, Abu Ibrahim enggan menjawab, tetapi setelah didesak, beliau berkata:
“Oh, semalam aku turun dalam terowong, bantu rakan-rakan baik pulih dan kembangkan terowong. Adalah terluka sikit.”
Hebat!
Ada banyak lagi kisah. Doakan supaya saya rajin menulis. Juga, doakan agar segala penulisan saya dapat diterjemahkan ke dalam bentuk yang lebih menarik.
Kalian juga boleh dapatkan e-komik berkenaan kehidupan awal Abu Ibrahim di pautan ini: bit.ly/komikyahyasinwar
Anas Bad Latif
Penyelidik Dunia Palestin