Dalam salah satu daurah berkaitan al-I’dad (bersiap siaga) oleh Dr Muhammad Sa’id Bakar, anggota lembaga ulama Palestin dan Jordan, beliau berkongsi sebuah kisah yang sangat menarik.
Beliau satu ketika dahulu pernah melawat Gaza. Ditakdirkan beliau mendapat izin untuk melawat para mujahidin di terowong. Beliau dibawa melalui terowong dalam keadaan mata tertutup.
Apabila beliau tiba di terowong, seorang remaja dalam lingkungan umur 15-16 tahun, berwajah indah, berkarisma, pemalu dan lembut bahasanya datang membawa segelas teh. Pemalu dan sopannya pemuda tersebut diibaratkan oleh beliau seperti seorang anak dara yang terpelihara maruahnya di rumah (seperti hadis yang menyifatkan malunya Rasulullah).
Ujar beliau, air teh yang diminumnya adalah air teh yang paling sedap yang pernah dirasanya sepanjang hidup.
Sepanjang di terowong beliau tertanya-tanya siapakah pemuda luar biasa ini.
“Wahai anak muda, boleh aku tahu siapa engkau?” Soal Dr Sa’id.
“Wahai Pakcik, saya Abu Ubaidah, Jurucakap al-Qassam. Pakcik tak kenal ke?”
Dr Sa’id terkejut. Beliau seperti tidak percaya sehingga beliau meminta Abu Ubaidah untuk menutup wajahnya dengan kuffiyeh untuk mengecam wajah beliau.
Benar! Ia Abu Ubaidah, Jurucakap al-Qassam.
Dr Said lanjut bertanya, wahai Abu Ubaidah bagaimana engkau boleh menjadi jurucakap al-Qassam, apakah kisah disebaliknya ?
Abu Ubaidah menjawab: “Suatu hari aku sedang dalam latihan pemilihan askar al-Qassam, datang Abdul Aziz ar-Rantisi kepadaku lalu menarik aku keluar dari barisan.
“Wahai anak muda, pada aku ada teks kenyataan media untut dibaca, tolong baca depan aku sekarang.”
“Tapi aku tidak pandai baca dan aku tidak mahu jadi jurucakap, aku mahu jadi tentera!”, balas Abu Ubaidah.
“Baca, lama-lama engkau akan mahir”.
Aku pun membacanya dengan kesalahan yang sangat banyak.
Alhamdulillah, hari ini aku mampu membaca kenyataan media dengan hanya memberitahu kepadaku tajuk dan maklumat yang ingin disampaikan (tanpa teks)!
Inilah kisah disebalik seorang jurucakap yang suaranya paling dinantikan-natikan oleh seluruh dunia dan digeruni oleh para musuh.
Begitulah benih tarbiah, menghasilkan buahnya apabila disemai dan dibaja dengan Iman.
Ini merupakan bentuk siap siaga yang dilakukan oleh asy-Syahid Abdul Aziz Rantisi (I’dad) untuk memelihara agama dan negara dengan menubuhkan unit media al-Qassam. Siapa sangka sebuah unit yang hanya bermula dengan jurucakap seorang remaja, akhirnya menggegarkan dunia dengan hasil media mereka.
Semoga para penggerak PEMBINA dapat mengambil inspirasi dari kisah ini untuk terus bersiap siaga, memelihara agama dan membina masa hadapan negara melalui dakwah dan tarbiah.
Jangan pernah berputus asa dengan usaha tajmi’ dan tarbiah, kerana benih yang disemai dengan iman pasti akan berbuah enak!
Ibrahim Allam Said
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Malaya