Terima kasih kepada Ustaz Fisol Md Isa atas ruang yang diberikan kepada saya untuk berkongsi berkenaan isu Palestin di Pusat Pengajian Tafsir Pondok USF malam tadi.
Juga terima kasih kepada Pengerusi Masjid Al-Rahmah Alor Setar, Mergong atas ruang perkongsian yang sama selepas solat Subuh hari ini. Layanan dan jamuan istimewa dari kedua-dua pihak ini saya doakan diganjari Allah dengan limpahan rahmat dan keberkatan dari Allah.
Ingin saya kongsikan di sini beberapa cadangan yang saya lontarkan di dalam kedua-dua sesi tersebut dengan beberapa tambahan yang tidak sempat disebutkan.
Terlalu banyak sumbangan yang kita boleh sumbangkan kepada Palestin. Beberapa cadangan yang pihak masjid dan lain-lain boleh fikirkan:
i. Menganjurkan forum, kuliah, pengisian dan penerangan dari semasa ke semasa tentang isu Palestin agar ianya tidak dilupai.
ii. Menganjurkan apa-apa aktiviti solidariti seperti konvoi basikal, mini perarakan, karnival keluarga, solat hajat perdana, pertandingan pidato, pertandingan lukisan bertemakan Palestin, menghias masjid dengan kibaran bendera juga hiasan lain bertemakan Palestin dan seumpamanya.
iii. Membuka tabung sumbangan di masjid dan diserahkan kepada mana-mana pihak yang dipercayai setiap akhir bulan. Tulis di papan kenyataan jumlah kutipan setiap bulan seperti hebahan jumlah kutipan Jumaat setiap minggu.
iv. Paparan di screen masjid tentang perkembangan terkini Palestin berselang seli dengan paparan jadual kuliah dan aktiviti masjid yang lain.
v. Korban tahun depan dipecahkan kepada dua; sebahagian disembelih di masjid sebagai syiar Islam setempat dan sebahagian disalurkan ke warga Palestin melalui badan-badan yang ada melakukan ibadah korban untuk Palestin.
vi. Edaran risalah berkenaan Palestin pada solat Jumaat kepada semua yang hadir ke masjid.
vii. Kembara al-Quds anjuran pihak masjid kepada ahli kariah yang berkelapangan. Antara tempat boleh dilawati adalah Jordan yang masih aman dan amat hampir dengan al-Quds, menjejaki lokasi bersejarah yang berkait dengan perjalanan Saidina Umar RA menerima kunci al-Quds dan jejak Solahudin al-Ayyubi.
Banyak lagi yang boleh disenaraikan. Apa juga aktiviti masjid yang sebegini sudah pasti akan membina perasaan kebersamaan dalam jiwa ahli kariah dengan kesengsaraan yang sedang dialami oleh saudara kita di Palestin.
Lakukanlah apa sahaja demi pembebasan Palestin. Kita tidak tahu usaha yang manakah yang akan menjadi asbab kepada pembebasan.
Wallahu a’lam.
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)