Seorang pegawai kanan Hamas dilaporkan berkata, kumpulan itu menolak sebarang cadangan untuk menghentikan sementara pertempuran yang berlangsung lebih setahun di Gaza dan hanya menerima gencatan senjata kekal.
“Idea untuk menghentikan perang secara sementara, hanya untuk menyambung semula serangan kemudian, adalah sesuatu yang kami sudah nyatakan pendirian kami.
Hamas menyokong penamatan perang kekal, bukan sementara,” kata pemimpin kanan pergerakan itu, Taher al-Nunu kepada AFP.
Sumber kepada AFP sebelum ini berkata, perantara ketika ini sedang mengusahakan gencatan senjata di Gaza dan dijangka mengemukakan cadangan gencatan senjata ‘kurang dari sebulan’ terhadap Hamas.
Sumber berkata, rundingan diadakan antara Ketua Mossad, David Barnea; Pengarah CIA, Bill Burns dan Perdana Menteri Qatar di Doha, yang berakhir pada Isnin lalu, membincangkan cadangan gencatan senjata ‘jangka pendek, kurang dari sebulan’.
Tambahnya, cadangan itu juga membabitkan pertukaran tebusan warga Israel dengan tahanan Palestin di penjara Israel dan peningkatan bantuan ke Gaza.
“Pegawai AS percaya jika perjanjian jangka pendek dapat dicapai, ia boleh membawa kepada perjanjian yang lebih kekal,” kata sumber itu.
Al-Nunu berkata, setakat ini, kumpulan itu belum menerima sebarang cadangan malah berkata, jika menerima cadangan sedemikian, mereka akan memberikan maklum balas.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tuntutan yang dikemukakan kumpulan itu selama beberapa bulan lalu adalah – ‘gencatan senjata kekal, pengunduran (tentera Israel) dari Gaza, pemulangan tebusan, bantuan kemanusiaan yang mencukupi ke Gaza dan perjanjian pertukaran tahanan yang serius’. – Berita Harian