Gerakan Hamas meraikan pembebasan kumpulan pertama tahanan Palestin dari penjara rejim Zionis, yang merupakan sebahagian daripada perjanjian “Taufan Al-Ahrar”.
Dalam kenyataan rasmi pada Isnin, Hamas memuji sokongan padu rakyat Palestin terhadap perjuangan pembebasan dan menggambarkan kegembiraan di kalangan keluarga dan rakyat yang menyambut para tahanan sebagai bukti solidariti mereka terhadap gerakan itu.
“Rakyat Palestin yang keluar beramai-ramai menyambut tahanan yang dibebaskan, meskipun berdepan tindakan keras rejim, menunjukkan semangat mereka terhadap kebebasan dan usaha membebaskan tanah air serta tempat suci kita,” kata kenyataan tersebut.
Hamas turut menegaskan bahawa keadaan tahanan wanita Israel yang dibebaskan dalam keadaan baik mencerminkan perbezaan nilai dan prinsip antara gerakan tersebut dengan sikap kejam Zionis yang menindas tahanan Palestin sehingga ramai yang mengalami kesan fizikal dan psikologi.
“Kami berdiri teguh memperingati pengorbanan besar rakyat Palestin di Gaza dan kekuatan pejuang kami yang tidak pernah melupakan para tahanan dan wanita yang ditahan di penjara Zionis,” tambah kenyataan itu.
Hamas menegaskan komitmennya untuk terus berusaha membebaskan semua tahanan Palestin dan mencapai matlamat akhir, iaitu membebaskan tanah Palestin dan menggulingkan penjajahan Zionis. – Dunia Palestin