Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua kita menyaksikan satu demi satu negara di dunia di’merdeka’kan secara fizikal oleh kuasa kolonial, sehingga boleh dikatakan semua negara telah mendapat ‘kemerdekaan’ tersendiri.
Namun tanah Palestin yang telah dijajah oleh British sejak 1917, kemudian disambung penjajahan itu melalui penubuhan entiti haram Zionis pada 1948 masih belum mendapat kemerdekaan sehingga hari ini. Mengapa?
Adakah rakyat Palestin tidak berusaha keras untuk membebaskan tanah air mereka? Ataupun adakah penjajah Israel itu terlalu kuat dan memang mustahil untuk dikalahkan?
Kita kebiasaannya akan melihat bahawa pertembungan di bumi Palestin adalah antara rakyat dan pejuang Palestin menentang entiti haram Zionis Israel, namun kita gagal memahami struktur sebenar pertembungan yang berlaku.
Di barisan hadapan musuh kita melihat entiti haram Israel sebagai watak utama menjajah dan melakukan genosid terhadap Palestin, namun di belakangnya terdapat beberapa lapisan yang turut bersama dalam memerangi Palestin.
Lapisan pertama yang jelas dilihat adalah sokongan kuasa besar Barat dan sekutu Zionis. AS, UK, negara-negara Eropah dan Timur yang menyokong Israel, serta negara Arab yang melakukan normalisasi telah dan sedang memberi pelbagai bentuk bantuan ketenteraan, logistik, ekonomi, makanan dan lain-lain kepada Israel selama berpuluh-puluh tahun.
Dalam tempoh 11 bulan terkini sahaja, AS dilaporkan telah menghantar 50,000 tan bom dan pelbagai alatan ketenteraan sepanjang genosid Israel di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
Lapisan seterusnya yang boleh dilihat adalah sokongan terhadap entiti haram Israel daripada pelbagai proksi dan lobi Zionis bukan kerajaan yang berada di seluruh dunia, yang memberikan kuasa ekonomi, politik dan propaganda untuk terus menjayakan projek Zionisme.
Dari segi ekonomi, Israel mendapat sokongan kewangan dari syarikat gergasi dunia seperti BlackRock, Vanguard, Goldman Sachs dan lain-lain, serta dana ‘tabung khas’ Yahudi yang telah ditubuhkan sejak tahun 1901 lagi iaitu Jewish National Fund (JNF).
Israel juga mengekalkan sokongan negara besar kepadanya melalui lobi-lobi Zionis yang memegang ahli politik negara tersebut seperti AIPAC, AJC, ADL, JFNA, CUFI, ZOA dan lain-lain. Entiti Zionis itu juga cuba mengawal naratif dan propaganda dunia untuk menipu sejarah dan memburukkan perjuangan melalui rangkaian media gergasi yang mereka mempunyai pengaruh, namun 7 Oktober telah meruntuhkan sebahagian besar propaganda palsu tersebut.
Bayangkan rakyat dan pejuang Palestin yang serba kekurangan menghadapi kuasa ‘orde baharu dunia’ ini bersendirian tanpa sebarang sokongan dan bantuan signifikan di belakang mereka.
Sebahagian negara Arab sendiri telah melakukan normalisasi dengan Israel, dan kebanyakan negara Islam lain yang hanya bersimpati dan membantu dalam bentuk ‘kemanusiaan’ semata-mata.
Dengan perkiraan di atas, bolehkah kita memahami sebenarnya kenapa Palestin masih belum merdeka sehingga hari ini?
Kemerdekaan Palestin akan tiba bila negara-negara Islam mempunyai keberanian dan keinginan membentuk ‘orde baharu Islam’ dan seterusnya berada di belakang Palestin sepenuhnya untuk menghalau penjajah Zionis.
Petikan dari Piagam Hamas 1988:
“Persoalan mengenai pembebasan Palestin terkait kepada tiga lingkaran: lingkaran Palestin, lingkaran Arab dan lingkaran umat Islam sejagat. Setiap kelompok ini mempunyai peranannya dalam perjuangan menentang Zionisme. Masing-masing mempunyai tugasnya, dan adalah satu kesilapan yang besar dan tanda kejahilan yang mendalam untuk mengabaikan mana-mana kelompok ini.”
Ahmad Nu’man Mazlan
Penyelidik Dunia Palestin