Israk dan Mikraj merupakan peristiwa agung yang berlaku dalamnya perhimpunan para Nabi di Masjid al-Aqsa, dengan Rasulullah SAW menjadi imam solat mereka.
Peristiwa ini hanya berlaku sekali dalam sejarah tamadun manusia, di mana Allah SWT mengumpulkan sekalian para utusan-Nya dari pelbagai tempat dan zaman di suatu tempat dan masa yang sama iaitu di Baitulmaqdis.
Sebahagian ulama tafsir seperti Imam al-Qurtubi menyebut bahawa terdapat satu dan satu-satunya ayat dalam al-Quran yang diturunkan di Baitulmaqdis pada malam Israk dan Mikraj, yang merupakan petikan dari ‘dialog’ yang berlaku pada malam tersebut iaitu ayat 45 Surah al-Zukhruf:
وَاسْأَلْ مَنْ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رُّسُلِنَا أَجَعَلْنَا مِن دُونِ الرَّحْمَٰنِ آلِهَةً يُعْبَدُونَ
“Dan bertanyalah kepada umat mana-mana Rasul yang Kami telah utuskan sebelummu; pernahkah Kami memberi hukum menetapkan sebarang tuhan untuk disembah, selain dari Allah Yang Maha Pemurah.” (Al-Zukhruf: 45)
Perhimpunan ini pastinya mempunyai petanda dan agenda yang besar, dengan simbolik jelas bahawa Rasulullah SAW adalah Nabi terakhir, baginda dan umatnya adalah pewaris dan pemilik kepada bumi Baitulmaqdis.
Sebuah tesis PhD yang ditulis oleh Dr. Abdullah Ma’ruf menjelaskan bahawa Rasulullah telah mempunyai strategi yang jelas untuk membuka Baitulmaqdis selepas berlakunya Israk dan Mikraj.
Siri peperangan terakhir dalam kehidupan Rasulullah kebanyakannya menuju ke arah Syam, atau lebih tepatnya Baitulmaqdis. Perang Mu’tah merupakan perang yang paling hampir dengan bumi Palestin iaitu hanya 85KM daripada Baitulmaqdis.
Dalam Perang Tabuk iaitu perang terakhir Rasulullah SAW, baginda telah menyampaikan hadis tentang pembukaan Baitulmaqdis, yang akan berlaku selepas kewafatannya. Usaha ini akhirnya dijayakan oleh Umar al-Khattab RA.
Rasulullah SAW juga telah menyusun operasi kententeraan Usamah bin Zaid menuju ke Balqa (Jordan) dan Darum (Gaza) sebelum baginda wafat, dan arahan baginda kepada Usamah adalah untuk mempertahankan umat Islam yang ditindas di sempadan jajahan Rom.
Berlakunya Israk dan Mikraj di Baitulmaqdis yang dilihat sebagai pusat dunia juga menandakan bahawa Islam adalah agama antarabangsa yang akan membawa rahmat ke seluruh alam.
Israk dan Mikraj adalah titik mula penguasaan Islam terhadap seluruh dunia, dengan kemuncaknya adalah pemerintahan Islam yang akan tertegak di Baitulmaqdis seperti yang disebut dalam hadis akhir zaman.
Ustaz Ahmad Nu’man Mazlan
Pengurus Dunia Palestin Network