Sorotan perjuangan pembebasan Palestin

Perjuangan Palestin merupakan suatu sejarah yang panjang, bukan hanya bermula seabad yang lalu. Hakikatnya perjuangan pembebasan Palestin ini telah bermula di zaman baginda Rasulullah SAW lagi. Baginda telah menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa pada malam Israk dan Mikraj, dan langkah ke arah pembebasan bumi Baitulmaqdis telah digerakkan oleh baginda sendiri.

Rasulullah telah menghantar utusan untuk menyampaikan surat seruan dakwah Islam kepada Maharaja Rom, yang dihantar di bandar Aelia, iaitu nama lama kota Baitulmaqdis. Baginda telah melancarkan 15 operasi ketenteraan ke arah bumi Syam dan Baitulmaqdis selepas Perjanjian Hudaibiyah (pada 6 Hijrah) sehinggalah kewafatan baginda. Perang yang paling hampir dengan Baitulmaqdis di zaman Rasulullah SAW adalah Perang Mu’tah, iaitu sekitar 85km menghampiri Kota Suci tersebut.

Ketika perang terakhir Rasulullah SAW iaitu Perang Tabuk (pada 9 Hijrah), baginda telah menyampaikan hadis tentang Pembukaan Baitulmaqdis yang akan berlaku selepas kewafatannya. Perjuangan suci membebaskan Baitulmaqdis ini akhirnya disempurnakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab dengan kemaraan Islam ke bumi Syam dan berlakunya Pembukaan Baitulmaqdis pada 15 Hijrah.

Sejarah menyaksikan bumi Baitulmaqdis telah dijajah oleh Tentera Salib pada tahun 1099, namun umat Islam telah bangkit daripada kejatuhan dan berusaha untuk membebaskannya semula walaupun mengambil masa hampir seabad. Akhirnya setelah menyatukan semula wilayah-wilayah Islam, Sultan Salahuddin Al-Ayyubi telah membebaskan Baitulmaqdis pada tahun 1187, iaitu selepas 88 tahun penjajahan zalim Kerajaan Tentera Salib. Kemenangan ini tiba selepas perjuangan yang panjang.

Ancaman terhadap Baitulmaqdis dan bumi Palestin tidak pernah berakhir, pada penghujung abad ke-19, orang Yahudi telah beramai-ramai menerima agenda Zionisme iaitu suatu gerakan bagi menubuhkan negara Yahudi di atas tanah Palestin. Agenda ini disebarluaskan oleh Theodor Herzl, seorang wartawan dan aktivis politik Yahudi yang telah menulis sebuah buku bertajuk ‘Negara Yahudi’ yang disebarkan kepada masyarakat Yahudi di seluruh Eropah pada tahun 1896.

Pada 29 Ogos 1897, Persidangan Zionis Antarabangsa Pertama telah dilaksanakan di Basel, Switzerland. Gerakan Zionis Antarabangsa telah mencapai satu resolusi untuk menubuhkan sebuah negara khusus bagi orang Yahudi di tanah Palestin yang diiktiraf undang-undang antarabangsa.

Bermulalah pelbagai perancangan Zionis untuk merampas tanah Palestin. Pada peringkat awal, mereka berusaha untuk membelinya daripada Khalifah Uthmaniyyah, Sultan Abdul Hamid II namun baginda menolaknya dan mempertahankan tanah Palestin dengan tegas. Gerakan Zionis seterusnya bekerjasama dengan Empayar British untuk menjatuhkan Empayar Uthmaniyyah dan seterusnya mendapatkan tanah Palestin bagi merealisasikan cita-cita mereka.

Pelbagai peristiwa telah berlangsung dalam proses mendirikan negara Yahudi tersebut. Antaranya telah berlaku Perjanjian Sykes-Picot 1916, Deklarasi Balfour 1917, Penjajahan British atas Palestin 1917, migrasi hampir 400,000 Yahudi ke bumi Palestin dari 1920-1946, Pelan Pembahagian Tanah PBB 1947, iaitu pemberian 2/3 daripada tanah Palestin kepada orang Yahudi yang disebut sebagai Resolusi 181 dan akhirnya pada 14 Mei 1948, gerakan Yahudi Zionis mengumumkan kewujudan entiti haram Israel selepas tamatnya mandat British atas Palestin.

Pada 15 Mei 1948, rakyat Palestin telah mengisytiharkan hari tersebut sebagai Hari Nakbah, iaitu bermulanya malapetaka di tanah Palestin dengan hilangnya negara Palestin daripada peta dunia dan berlangsungnya penghapusan etnik terhadap rakyat Palestin. Lebih 750,000 orang penduduk asal dihalau keluar dari tanah mereka dan menjadi pelarian serta 15,000 orang telah dibunuh. Wilayah Gaza waktu itu diserahkan kepada Mesir dan Tebing Barat kepada Jordan.

Tahun 2023 menandakan sudah 75 tahun insiden Nakbah berlangsung dan masih belum tamat. Dalam tempoh 75 tahun ini, pelbagai kesengsaraan telah dihadapi rakyat Palestin. Beberapa perang besar telah berlaku antara negara Arab dan Israel sejak 1948 dan juga berlaku kebangkitan gerakan pembebasan bersenjata oleh rakyat Palestin untuk membebaskan Palestin. Namun, setelah berlalunya masa, negara Arab mula memilih jalan perdamaian dengan Israel dan penerimaan konsep Penyelesaian Dua Negara termasuk dari kalangan gerakan Palestin sendiri.

Kebangkitan baharu perjuangan Palestin mula dilihat apabila berlakunya Intifadhah Pertama Palestin pada 1987, yang juga merupakan tahun secara rasminya Hamas ditubuhkan. Rakyat Palestin telah meneruskan momentum perjuangan dengan bertempur secara terus dengan Israel sejak kebangkitan itu.

Penentangan yang hebat ini telah memaksa Israel berundur sepenuhnya dari Gaza pada tahun 2005, namun setelah Hamas memenangi pilihanraya secara sah pada tahun 2006, Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktirafnya lalu mengenakan sekatan penuh melalui darat, laut dan udara terhadap Gaza pada 2007 sehingga hari ini.

Tanggal 7 Oktober 2023 yang disebut sebagai Taufan Al-Aqsa telah menyaksikan bermulanya fasa baharu dalam perjuangan Palestin iaitu fasa pembebasan penuh Palestin. Fasa ini menuntut kita untuk turut bersama dalam perjuangan dengan bersolidariti dan menyokong penuh usaha para pejuang Palestin membebaskan Masjid Al-Aqsa dan seluruh tanah Palestin yang dijajah.

Sokongan kita terhadap Palestin tidak cukup dengan sekadar bantuan kemanusiaan. Sebaliknya, kita perlu menggunakan segala kemahiran kita untuk mematahkan naratif Zionis yang berpuluh tahun telah menipu dunia dan menjelaskan hakikat sebenar sejarah panjang perjuangan Palestin.

Ustaz Ahmad Nu’man Mazlan
Pengurus Dunia Palestin Network

Total
0
Shares
Previous Post

Israk dan Mikraj titik mula penguasaan Islam

Next Post

PBB lulus resolusi UNSC pertimbang keanggotaan penuh Palestin

Related Posts

Taufan Al-Aqsa: Kita dari kelompok mana?

وَلَوۡ یَشَاۤءُ ٱللَّهُ لَٱنتَصَرَ مِنۡهُمۡ وَلَـٰكِن لِّیَبۡلُوَا۟ بَعۡضَكُم بِبَعۡضࣲۗ وَٱلَّذِینَ قُتِلُوا۟ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ فَلَن یُضِلَّ أَعۡمَـٰلَهُمۡ “Dan…
Read More