4 Januari 2024 adalah hari yang amat bersejarah buat Syria.
Syeikh Usamah Abd al-Karim al-Rifaie telah membuat ‘comeback’ yang gemilang apabila telah pulang semula ke tanah air tercintanya setelah berhijrah atas faktor keselamatan ke Turkiye selama 13 tahun.
Di Turkiye, golongan ilmuan dan ulama’ telah mengangkat Syeikh Usamah al-Rifai (SUR) sebagai Mufti Republik Syria yang rasmi.
Apakah petanda kepulangan ini buat Syria?
Kepulangan SUR telah disambut di Masjid Agung Kafrsouseh dengan meriah dan gilang oleh pengikut, pencinta dan pejuang yang cinta akan beliau.
Kenapa SUR penting buat Kemerdekaan Syria?
SUR dan juga adik beliau Syeikh Sariah al-Rifai sejak awal lagi telah menentang kezaliman rejim Assad. Akibatnya pada tahun 1981, mereka telah berhijrah menyelamatkan diri. Mereka pulang semula pada tahun 1993.
Adik beradik al-Rifai ini punyai pengaruh yang amat besar di Syria. Hatta, pada awal 2000-an Bashar Assad juga pernah ziarah dan mendengar khutbah beliau.
Dengan pengaruh yang ada, pada tahun 2011, SUR telah berdiri dengan lantang mengkritik kezaliman rejim Assad. Kemuncaknya pada tahun 2012, SB dan Shabiha rejim Assad telah menyerang Masjid SUR dan SUR telah cedera dalam serangan ini.
SUR akhirnya meninggalkan Syria dan pergi ke Mesir kemudian ke Turkiye. Di Turkiye lah SUR serta para pengikutnya mula mengumpulkan kekuatan bagi melawan rejim Assad.
Pada tahun 2014, SUR bersama para ulama’ dan ilmuan telah menubuhkan Majlis Islam Syria (SIC) bagi menyelia pergerakan agama dan politik Syria.
SIC telah mengumpulkan seramai 128 orang para ilmuan dari 40 latar belakang mazhab, bidang dan keilmuan. Syeikh Usamah al-Rifaie telah dilantik sebagai ketua bagi SIC.
Ketika mana SUR dan SIC sedang mengumpulkan kekuatan mereka di luar. Rejim Assad tidak dapat mendiamkan diri. Mereka telah memulakan langkah bagi melemahkan dan memprovok SUR dengan cara menukar nama masjid beliau dengan nama Ibad al-Rahman bagi menyekat segala pengaruh keluarga al-Rifaie.
SIC di bawah pimpinan Syeikh Usamah al-Rifaie telah membuat beberapa langkah yang signifikan, antaranya ialah:
– mencela segala langkah yang berunsurkan terorisme
– isytiharkan IS sebagai sebuah badan jenayah dan tidak ada tempat bagi mereka di Syria
– tidak ada tempat juga bagi pejuang asing
– menyeru pada transisi kuasa secara adil
Apakah Hubungan SUR dan HTS?
Pada tahun 2017, SUR telah bertindak menegur kekurangan HTS dan menyokong pesaing HTS iaitu Free Syrian Army (FSA). Di dalam masa yang sama HTS tidak mengiktiraf ‘kuasa’ SIC dan bertindak untuk menubuhkan Lajnah Fatwa-nya sendiri di bawah kelolaan Syrian Salvation Government (SSG).
Apalagi yang menambahkan saingan antara HTS dan SIC ialah apabila melihatkan populariti SIC, khususnya Syeikh Usamah al-Rifaie, yang begitu masyhur dalam kalangan rakyat majoriti Syria.
Apatahlagi pada tahun 2022, SUR diberi penghormatan untuk melawat dan menziarah serta memberi khutbah di kawasan Syria yang berjaya dikuasai oleh proksi Turkiye. Bahkan, sejak tahun 2011, selama 11 tahun SUR tidak membuat sebarang aktiviti khutbah di tanah Syria, telah diberi penghormatan untuk menyampaikan khutbah di Masjid Agung Azaz pada tahun 2022.
Pada 26 Oktober 2024, SIC telah mengeluarkan satu kenyataan yang berbentuk seruan kepada seluruh Kumpulan Pembebasan Syria untuk membina Syria yang baru yang lebih baik.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh SIC ini secara tak langsung telah menegur HTS. Kerana SIC telah menyeru untuk setiap kerajaan yang akan menerajui Syria untuk amalkan diplomasi yang lebih terbuka, bahkan SIC menyeru untuk diterapkan amalan pilihanraya yang terbuka.
Sudah tentu ini adalah teguran buat HTS. Kerana HTS melalui Kerajaan SSG di Idlib tidak menjalankan pilihanraya dan mereka dikenali dengan amalkan polisi yang tertutup.
Kejatuhan Rejim Assad & Kesannya Terhadap Hubungan SIC-HTS
Detik 8 Disember 2024 adalah begitu bersejarah buat Syria dan Pencinta Syam. Tepat jam 6:18 pagi, adalah secara rasminya kejatuhan Rejim Assad yang telah memerintah dengan kejam sejak 53 tahun lamanya.
Gerakan pembebasan ini telah diketuai oleh HTS yang berpangkalan di Utara Syria di Idlib dan akhirnya berjaya menguasai ibu negara Syria, Damsyik.
Secara tak langsung kejayaan ini telah memberi kesan kepada dinamika hubungan HTS dengan badan dan kumpulan agama yang lain yang wujud di Syria.
Ramai tokoh-tokoh agama yang berhijrah ke luar Syria, atau yang membuat keputusan untuk tinggal di Idlib telah pulang semula ke tempat mereka yang asal.
Sebagai contoh, Syeikh Ahmad al-Sayaseneh telah disambut dengan begitu meriah sekali di masjid yang beliau sering berkhidmat, iaitu di Masjid al-Omari di Dar’aa.
Manakala 4 Januari 2025 juga merupakan detik yang bersejarah apabila Syeikh Usamah al-Rifaie pulang semula ke Masjid Abd al-Karim al-Rifaie di Damsyik yang begitu sinonim dengan beliau.
2 contoh yang signifikan ini telah dilatari dengan sambutan yang begitu besar. Menunjukkan pengaruh para ulama’ dan SIC di dalam masyarakat Syria.
Kembalinya para tokoh ini memberi signal kepada dinamika agama & politik di Syria. Kerana HTS yang dikenali sebagai pesaing, tidak mampu untuk menghalang ‘kebangkitan’ ini kerana betapa popularnya tokoh-tokoh ini dalam kalangan rakyat Syria.
Kesemua petanda ini amat penting buat pemerhati kebangkitan di Syria. Kerana ini menunjukkan bahawa HTS walaupun dilihat begitu dominan di lapangan politik Syria. Mereka tidak boleh memandang rendah dengan kuasa agama yang dipegang oleh SIC dan golongan ulama’.
Kerana ramai lagi ulama’ SIC yang akan pulang semula ke masjid-masjid yang sudah lama menantikan sentuhan yang telah hilang selama puluhan tahun.
Selain itu, HTS juga tidak boleh memandang sebelah mata dengan pengaruh Ikhwan Muslimin Syria dan juga Turkiye. Kerana 2 entiti ini secara rasminya telah menyokong SIC serta punyai pengaruh di dalam kumpulan pejuang yang lain di Syria.
Perkembangan Terkini Hubungan HTS-SIC
6 Januari 2025 Dunia Islam dikejutkan dengan pemergian Syeikh Sariah al-Rifaie, adik kandung kepada Syeikh Usama al-Rifaie. Seperti abangnya, Syeikh Sariah juga punyai pengaruh yang besar terhadap rakyat Syria.
Setelah jenazah beliau disolatkan di Turkiye, beliau telah dibawa ke Damsyik di Syria.
Jenazah beliau telah dimuliakan dengan begitu besar sekali.
Namun, bak kata pepatah: ‘ada rahmat di sebalik musibah’. Walaupun dunia bersedih dengan pemergian ulama’ ini. Akhirnya kita dapat melihat satu pemandangan yang amat penting buat Syria.
Kerana Ahmad al-Sharaa’, Marhaf Abu Qasra & Asaad al-Shaibani juga turut hadir memberi penghormatan terakhir buat Syeikh Sariah al-Rifaie.
Bahkan, dunia juga telah melihat, pemimpin utama Gerakan Pembebasan Syria, Ahmad al-Sharaa telah mengucup kepala Syeikh Usamah al-Rifaie.
Satu pemandangan yang menyejukkan hati buat para mukminin. Kerana kita mengharapkan kesatuan antara golongan pejuang dan ulama’ supaya mampu membina Syria yang lebih baik.
Anas Bad Latif
Penyelidik Dunia Palestin