Umat Islam digesa untuk menghayati roh jihad dalam usaha membantu perjuangan pembebasan Palestin, meskipun tidak berada secara fizikal di wilayah yang bergolak itu.
Penyelidik Dunia Palestin, Ahmad Nu’man Mazlan berkata, jihad untuk Palestin merangkumi pelbagai bentuk usaha membantu Palestin yang melibatkan pengorbanan, kesusahan, menanggung risiko serta kesanggupan untuk keluar dari zon selesa.
“Berjihad untuk Palestin bermaksud kita sanggup mengorbankan sesuatu, bukan sekadar memberi lebihan yang kita ada,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggariskan beberapa bentuk tindakan praktikal yang boleh diambil masyarakat Malaysia untuk menunjukkan solidariti secara berkesan, antaranya termasuk menyumbangkan harta untuk Palestin sehingga mengorbankan keperluan peribadi dan keluarga, serta melibatkan diri secara aktif dalam penganjuran program kesedaran berkaitan isu Palestin di pelbagai tempat dan platform.
Selain itu, umat Islam juga disaran menggunakan kepakaran masing-masing bagi membongkar jenayah rejim Zionis dan menyokong perjuangan Palestin, serta bersungguh-sungguh dalam melawan nafsu untuk memboikot produk Zionis.
“Usaha kita mestilah sampai ke tahap yang memerlukan pengorbanan sebenar, barulah dapat dihayati roh jihad itu,” katanya.
Tambah beliau, terlalu banyak bentuk pengorbanan yang boleh disesuaikan dengan kemampuan individu masing-masing, asalkan matlamatnya jelas dan memberi impak kepada perjuangan Palestin.- Dunia Palestin