Pengarah Asia Middle East Center (AMEC), Dr. Muslim Imran menyatakan bahawa Israel terus mengukuhkan dominasi serantau melalui strategi ketenteraan, operasi perisikan dan usaha menggugat kestabilan negara-negara di Asia Barat.
Beliau berkata demikian dalam sesi webinar bertajuk “Projek Israel Raya dan Konflik Asia Barat” anjuran Dunia Palestin, sambil menyifatkan tindakan Israel lebih tertumpu kepada penguasaan menyeluruh berbanding diplomasi rasional meskipun berdepan bantahan antarabangsa serta konflik kemanusiaan yang meluas.
Menurut beliau, ideologi “Israel Raya” yang dipegang oleh penjajah Zionis menolak kewujudan negara Palestin di antara Sungai Jordan dan Laut Mediterranean.
“Antara komponen utama projek ini termasuk pengilhakan Tebing Barat, pengembangan kolonialisme penempatan haram serta usaha mengekalkan dominasi demografi Yahudi,” katanya.
Dr. Muslim Imran turut mendakwa wacana politik Israel sering menggambarkan rakyat Palestin sebagai ancaman demografi sehingga mencetuskan perbincangan berterusan mengenai perubahan komposisi penduduk.
Selain itu, beliau berkata Israel melaksanakan strategi melemahkan perpaduan politik negara-negara jiran bagi memperkukuh pengaruh serantaunya.
Beliau berkata usaha tersebut termasuk sokongan terhadap pembentukan entiti Druze di selatan Syria, wilayah autonomi Kurdish di utara Iraq dan Syria, selain campur tangan dalam isu dalaman Somalia dan Yaman.
“Israel melihat perpecahan negara-negara sekitar sebagai syarat penting untuk muncul sebagai kuasa dominan di rantau ini,” katanya.
Mengenai aspek ketenteraan, beliau berkata strategi Israel didasarkan kepada doktrin “Iron Wall” yang menekankan keperluan mengekalkan kekuatan tentera luar biasa bagi menimbulkan ketakutan dalam kalangan negara jiran.
Menurut beliau, Israel terus meningkatkan pelaburan ketenteraan serta melaksanakan khidmat tentera wajib, selain menjalankan operasi ketenteraan terhadap beberapa negara serentak termasuk Lubnan, Syria, Yaman, Iraq dan Iran. – Dunia Palestin
*Rakaman penuh webinar “Projek Israel Raya dan Konflik Asia Barat” boleh didapati di laman web duniapalestin.com.