Hizbullah hari ini berkata mereka sedang bertempur dengan tentera Israel yang cuba menyusup ke kampung Ramya di selatan Lubnan.
Seorang anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) cedera dalam konflik yang semakin meruncing antara Israel dan kumpulan Lubnan yang disokong Iran itu.
Serangan udara Israel menggoncang pangkalan utama pasukan pengaman di selatan Lubnan menyebabkan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dan negara-negara Barat mengecam serangan terbabit.
Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) menyifatkan kejadian itu sebagai ‘perkembangan serius’ dan menyatakan bahawa keselamatan kakitangan serta harta PBB mesti dijamin.
Perancis memanggil duta Israel dan mengeluarkan kenyataan bersama dengan Itali dan Sepanyol yang menyifatkan serangan seperti itu sebagai sesuatu yang tidak dapat dibenarkan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata beliau meminta Israel agar tidak menyerang pasukan UNIFIL.
Russia pula berkata ia terkejut dan menuntut Israel supaya mengelakkan daripada melakukan ‘tindakan bermusuhan’ terhadap pasukan pengaman.
Serangan tentera Israel ke Gaza pada semalam mengorbankan sekurang-kurangnya 29 rakyat Palestin, menurut para petugas perubatan, dan tentera Israel terus mendorong lebih dalam ke kawasan Jabalia, di mana agensi bantuan antarabangsa mengatakan ribuan orang terperangkap.
Penduduk di Jabalia, di utara kantung Gaza dan yang terbesar di kalangan kem pelarian bersejarahnya, berkata kawasan itu dibedil oleh tentera Israel dari udara dan darat.
Tentera Pertahanan Israel (IDF) berkata Hizbullah telah melancarkan hampir 320 peluru dari Lubnan ke Israel semalam, tanpa memberikan butiran lanjut.
Mereka mengisytiharkan beberapa kawasan di sekitar beberapa bandar di utara Israel sebagai Kawasan larangan kepada orang ramai.
Israel mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk di 23 kampung di selatan Lubnan untuk berpindah ke utara Sungai Awali, yang mengalir dari Lembah Bekaa Barat ke Laut Mediterranean.
IDF berkata pemindahan itu diperlukan untuk keselamatan penduduk berikutan peningkatan aktiviti Hizbullah, yang didakwa menggunakan tapak-tapak untuk menyembunyikan senjata dan melancarkan serangan ke Israel.
Bagaimanapun, Hizbullah menafikan dakwaan itu.
Semalam, tentera juga mengeluarkan arahan pemindahan untuk dua kawasan kejiranan di pinggir utara Bandar Gaza, dengan mengatakan kawasan itu merupakan ‘zon pertempuran berbahaya.
Dalam satu kenyataan, kementerian dalam negeri yang dikendalikan pejuang Hamas di Gaza meminta penduduk supaya tidak berpindah.
Konflik antara Israel dan tentera Hizbullah tercetus setahun lalu apabila kumpulan yang disokong Iran itu mula melancarkan roket ke utara Israel sebagai sokongan kepada Hamas, pada permulaan perang Gaza.
Israel telah memperhebatkan operasi ketenteraannya dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan mengebom selatan Lubnan, pinggir selatan Beirut dan Lembah Bekaa, yang menyebabkan ramai pemimpin tertinggi Hizbullah terbunuh, dan menghantar tentera darat melintasi sempadan.
Hizbulah pula melancarkan roket lebih dalam ke Israel.Operasi Israel yang diperluas itu telah menyebabkan lebih 1.2 juta orang terpaksa berpindah, menurut kerajaan Lubnan yang mengatakan lebih daripada 2,100 orang telah terkorban dan 10,000 lagi cedera dalam lebih setahun pertempuran. – Berita Harian