Gantz: Israel perlu terus serang Lubnan walaupun berlaku gencatan senjata di Gaza

Bekas anggota Kabinet Perang Israel, Benny Gantz, berkata Israel perlu mengalihkan tumpuan perang ke arah Hizbullah dan sempadan Lubnan, malah memberi amaran mereka sudah terlambat melakukan serangan.

Israel dan Hizbullah yang disokong Iran berbalas tembakan hampir setiap hari dengan kumpulan di Lubnan itu, mengatakan mereka bertindak untuk menyokong sekutu Palestin mereka, Hamas, dalam perang yang sedang berlangsung di Gaza.

Gantz, dalam satu forum Timur Tengah, berkata Iran dan proksi-proksinya adalah ‘musuh sebenar’ dan operasi ketenteraan harus dialihkan ke sana bagi ‘menyelesaikan sama sekali semua masalah’.

“Kita mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk menangani Gaza dan kita harus memberi tumpuan kepada apa yang berlaku di utara.

“Sudah tiba masanya kita tumpukan penyelesaian masalah di utara dan sebenarnya saya rasa kita sudah terlambat dalam hal ini,” tambah bekas ketua tentera dan ahli politik dari parti berhaluan tengah itu.

Gantz berkata Israel sudah melakukan kesilapan dengan memindahkan sebahagian besar penempatan kawasan utara negara itu apabila permusuhan dengan Hizbullah meningkat selepas serangan Palestin pada 7 Oktober lalu.

“Di Gaza, kita melangkaui titik keputusan dalam kempen ini. Kita boleh melakukan apa sahaja yang kita mahu di Gaza,” katanya.

Tambahnya, Israel harus berusaha untuk mencapai perjanjian bagi mengeluarkan tebusan mereka, tetapi sekiranya perkara itu tidak dicapai dalam masa terdekat, mereka harus beri tumpuan ke bahagian utara.

“Kita mampu untuk menyerang Lubnan jika perlu. Kisah Hamas adalah berita lama,” tambahnya.

Gantz meninggalkan kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Jun lalu kerana kekurangan mengemukakan rancangan pasca perang berhubung Gaza.

Serangan Palestin pada 7 Oktober ke atas Israel mengakibatkan kematian 1,205 mangsa, kebanyakannya orang awam, termasuk beberapa tebusan yang terbunuh semasa dalam tahanan, menurut angka rasmi Israel.

Pejuang Hamas menawan 251 tebusan semasa serangan itu, dengan 97 daripada mereka masih ditahan di Gaza termasuk 33, yang menurut tentera Israel, sudah mati.

Serangan balas Israel di Gaza setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 40,972 orang, kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Palestin. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pendatang haram Israel culik dan serang warga emas Palestin

Next Post

Abu Ubaidah: Pistol wira Jordan lebih berfungsi daripada tentera besar

Related Posts