Hamas menyatakan kesediaan untuk terlibat segera dalam rundingan menyeluruh bagi pertukaran tahanan dengan syarat rejim penjajah Zionis menghentikan sepenuhnya perang di Gaza, menarik keluar tenteranya dari wilayah itu, memulakan semula pembinaan semula dan menamatkan sekatan yang dikenakan.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Hamas di Gaza merangkap ketua delegasi rundingan pergerakan itu, Dr Khalil Al-Hayya dalam satu kenyataan pada Khamis sebagai respons kepada pendirian jelas Israel mengenai isu gencatan senjata dan pertukaran tahanan.
Menurutnya, perjanjian separa yang telah berlaku sebelum ini telah dieksploitasi oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pemerintahannya untuk melindungi agenda politik mereka yang didakwa bertujuan meneruskan perang pembunuhan beramai-ramai dan sekatan terhadap Gaza, meskipun dengan mengorbankan tahanan mereka sendiri.
“Kami tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar ini,” tegas beliau.
Tambah Dr Khalil, perjuangan bersenjata rakyat Palestin adalah hak asasi yang berkait rapat dengan kewujudan penjajahan dan ia adalah hak sah semua rakyat yang dijajah.
Beliau turut mengalu-alukan kenyataan bekas utusan khas Presiden Amerika Syarikat ketika era Trump, Adam Boehler yang menyatakan keperluan menyelesaikan isu tahanan dan perang secara serentak, satu pendirian yang dilihat selaras dengan saranan Hamas untuk mencapai perjanjian menyeluruh dalam pertukaran tahanan.
Dr Khalil juga menyeru komuniti antarabangsa untuk segera campur tangan dan mengenakan tekanan sewajarnya ke atas rejim penjajah Zionis agar menamatkan sekatan tidak berperikemanusiaan terhadap lebih dua juta penduduk Gaza yang kini sedang mengalami genosid melalui kebuluran dan kekurangan segala keperluan asas yang dijamin di bawah undang-undang antarabangsa. – Dunia Palestin