Maldives tidak lagi akan membenarkan kemasukan pemegang pasport Israel, umum Presiden Mohamed Muizzu pada Selasa, dengan alasan bantahan negara itu terhadap kempen ketenteraan kejam Israel di Gaza.
Keputusan itu dibuat susulan pengesahan Pindaan Ketiga kepada Akta Imigresen Maldives, yang telah diluluskan oleh Majlis Rakyat pada 15 April, menurut kenyataan Pejabat Presiden.
Dalam satu hantaran di Facebook, Muizzu menggambarkan pindaan itu sebagai “cerminan jelas pendirian kami terhadap kekejaman yang sedang berlaku di Palestin,” sambil menambah bahawa negara kepulauan di Lautan Hindi itu “mengulangi solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin.”
Pejabat Presiden turut menyatakan bahawa pengesahan pindaan tersebut menunjukkan “pendirian tegas kerajaan dalam menangani kekejaman berterusan dan jenayah genosid yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.”
“Maldives terus memperjuangkan pertanggungjawaban terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa dan kekal lantang di pelbagai platform antarabangsa dalam mengutuk tindakan Israel,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan juga mengulangi sokongan lamanya terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan norma undang-undang antarabangsa. – Anadolu