Parlimen Israel mengharamkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin (UNRWA) daripada beroperasi di Israel dan Baitulmaqdis timur yang diduduki, walaupun terdapat bantahan masyarakat antarabangsa.
Penggubal undang-undang meluluskan rang undang-undang (RUU) itu dengan 92 undi menyokong dan 10 menentang, selepas bertahun-tahun kritikan keras Israel terhadap UNRWA.
Tuduhan regim Zionis bahawa agensi bantuan PBB itu diperalatkan oleh kumpulan pejuang Islam semakin meningkat sejak permulaan perang di Gaza berikutan serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober tahun lalu.
Pakar berpendapat, larangan ke atas agensi PBB yang sekian lama memberikan bantuan dan sokongan penting di seluruh wilayah Palestin dan kepada pelarian Palestin di tempat lain selama lebih dari tujuh dekad akan menyukarkan kerja kemanusiaan di Gaza jika dilaksanakan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata pekerja UNRWA yang terbabit dalam aktiviti pengganas terhadap Israel mesti bertanggungjawab, tetapi bantuan kemanusiaan yang berterusan mesti kekal tersedia di Gaza.
“Kami sedia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa bagi memastikan Israel terus memudahkan bantuan kemanusiaan kepada orang awam di Gaza dengan cara yang tidak mengancam keselamatan Israel,” katanya di X.
Pada Januari, Israel menuduh sedozen pekerja UNRWA di Gaza terbabit dalam serangan 7 Oktober 2023 oleh Hamas, yang mencetuskan perang paling getir di wilayah itu.
Satu siri siasatan mendapati beberapa ‘isu berkaitan neutraliti’ di UNRWA dan menentukan bahawa sembilan pekerja ‘mungkin terbabit’ dalam serangan 7 Oktober, tetapi tidak menemui bukti untuk tuduhan utama Israel.
Kumpulan pejuang Hamas berang dengan tindakan Israel mengharamkan UNRWA sebagai perbuatan fasis dan menganggapnya sebagai tindakan perang serta penindasan regim Zionis terhadap penduduk Palestin.
Sementara itu, Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini mengecam keputusan itu dengan menegaskan ia tindakan awal yang berbahaya.
“Ini adalah yang terbaru dalam kempen berterusan untuk menjatuhkan kewibawaan UNRWA, malah RUU ini hanya akan menambah penderitaan rakyat Palestin,” tulisnya di X.
Tindakan itu juga dikecam dan dikritik kerajaan Amerika Syarikat (AS), Britain, dan Jerman, di mana AS sebelum ini menyatakan kebimbangan mengenai RUU itu yang memainkan peranan ‘kritikal’ dalam mengedarkan bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Pada 15 Oktober lalu, Washington memberi amaran kepada Israel untuk meningkatkan jumlah bantuan ke Semenanjung Gaza dalam tempoh 30 hari atau mempertimbangkan untuk menahan sebahagian bantuan ketenteraan kepada sekutunya yang utama.
Malah, Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer, menyatakan Britain amat bimbang kerana RUU itu akan menjejaskan bantuan penting UNRWA untuk rakyat Palestin.
“Ini membahayakan keseluruhan tindak balas kemanusiaan antarabangsa di Gaza dan menjadikannya mustahil bagi penyampaian perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang penting di Tebing Barat,” katanya.
Kerajaan Jerman juga mengkritik RUU itu manakala kerajaan Ireland, Norway, Sepanyol dan Slovenia yang semuanya mengiktiraf negara Palestin mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk tindakan itu.
Sementara itu, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata UNRWA menyediakan ‘talian hayat yang tidak boleh digantikan kepada rakyat Palestin’ dan memberi amaran mengenai ‘akibat buruk’ daripada melaksanakan rang undang-undang itu.
“Ini tidak boleh diterima, melanggar kewajipan dan tanggungjawab Israel, mengancam nyawa dan kesihatan semua mereka yang bergantung kepada UNRWA,” tulisnya di X.
Larangan itu, yang berkuat kuasa dalam 90 hari, secara berkesan akan menghalang UNRWA daripada beroperasi di Israel dan juga menyasarkan operasinya di timur Baitulmaqdis.
UNRWA menyediakan beberapa perkhidmatan penting seperti pembersihan, pendidikan dan penjagaan kesihatan di kawasan kejiranan tertentu.
Pekerja UNRWA di Tebing Barat juga dikhuatiri berdepan masalah berpindah dari satu tempat ke tempat lain serta mengakses Baitulmaqdis timur atau Israel kerana mereka akan kehilangan keupayaan berkoordinasi dengan pihak berkuasa Israel untuk menyeberangi pusat pemeriksaan.
Secara umumnya, semua kakitangan agensi bantuan dan sukarelawan kini bimbang pihak berkuasa Israel akan turut berhenti mengeluarkan visa dan permit kepada mereka.
UNRWA sendiri, yang diwujudkan pada 1949 untuk menyokong pelarian Palestin di Asia Barat, kehilangan sekurang-kurangnya 223 kakitangannya yang terbunuh dan dua pertiga daripada kemudahan agensi itu di Gaza rosak atau musnah sejak perang bermula. – Berita Harian