Israel dan Iran saling menuduh antara satu sama lain kerana membahayakan keamanan Asia Barat, selepas Israel menyerang sasaran ketenteraan Iran dan Iran pula berikrar akan membalas dendam.
Duta Iran, Amir Saeid Iravani, berkata pencerobohan Israel terhadap Iran adalah jelas satu serangan secara terang-terangan dan tidak dilakukan bersendirian, yang mana Iran bertanggungjawab untuk mempertahankan dirinya.
Katanya, serangan agresif adalah sebahagian daripada corak pencerobohan yang lebih luas secara berterusan, yang mana Israel terus menggugat kestabilan seluruh wilayah.
“Pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan dan sistematik Israel serta pembabitan ketenteraan di wilayah Palestin, Lubnan, Syria dan Yaman sepatutnya mencetuskan ‘kecaman yang tidak berbelah bahagi.
“saya ulangi, Iran berhak untuk bertindak balas selepas serangan udara Israel, tetapi Teheran lebih mengutamakan diplomasi,” katanya.
Perkara itu disuarakan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) yang diminta oleh Iran, di mana setiap negara menegaskan hak mereka untuk mempertahankan diri.
Sabtu lalu, Israel melakukan serangan udara ke atas tapak tentera di Iran sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu Teheran pada 1 Oktober ke atas Israel.
Dalam pada itu, Duta Israel, Danny Danon, berkata negaranya perlu mempertahankan diri selepas serangan Iran.
Duta Amerika Syarikat (AS), Linda Thomas-Greenfield, pula berkata sekiranya Iran memilih untuk melakukan tindakan agresif lebih lanjut terhadap Israel atau kakitangan AS di rantau itu, maka ia akan berdepan akibat yang teruk.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk bertindak dalam mempertahankan diri,” katanya, sambil menambah AS bagaimanapun mahu mengelak peningkatan ketegangan.
Sementara itu, di Lubnan, sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dalam serbuan Israel di beberapa kawasan di timur Lembah Bekaa, kebanyakannya di wilayah Baalbek, semalam.
Kementerian Kesihatan berkata, jumlah kematian meliputi 12 kawasan di Lembah Bekaa di mana kumpulan Hizbullah berkuasa.
“Sekurang-kurangnya dua kanak-kanak adalah antara yang maut, manakala 58 yang lain cedera.
“Daripada 60 yang terbunuh, sekurang-kurangnya 16 kematian direkodkan di Al-Alaq, barat bandar Baalbek,” menurut kementerian sambil menyatakan masih awal bagi menentukan jumlah korban kerana usaha menyelamat masih dijalankan.
Jumlah keseluruhan kematian terus meningkat kepada lebih 1,700 terbunuh di Lubnan sejak perang Israel-Hizbullah meletus akhir bulan lalu, menurut angka Kementerian Kesihatan.
Gabenor Baalbek, Bachir Khodr mengutuk serangan itu sebagai ‘paling ganas’ tanpa sebarang amaran perpindahan ke atas kawasan itu sejak permulaan konflik.
Baalbek ialah wilayah miskin di Lembah Bekaa yang bersempadan dengan Syria.
Lebih daripada setengah juta orang sudah menyeberang ke Syria bagi melarikan diri daripada perang, menurut pihak berkuasa Lubnan, kebanyakannya rakyat Syria. – Berita Harian