Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan harapan agar rakyat Syria bersatu padu dalam membina semula negara selepas kejatuhan rejim Al-Assad.
Dalam kenyataan beliau hari ini, Dr Mahathir turut menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan Israel yang merampas zon penampan yang memisahkan Syria daripada Bukit Golan, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai sebahagian daripada projek Israel Raya dengan sokongan Amerika Syarikat.
“Israel tidak percaya bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mampu menghentikan perang genosid dan rampasan mereka. Meskipun tidak berperang dengan Syria, Israel terus membedil kemudahan ketenteraan negara itu, termasuk pangkalan laut, bagi menghalang senjata jatuh ke tangan pihak berkuasa baharu,” katanya.
Dr Mahathir menegaskan bahawa tindakan Israel itu turut menyebabkan penduduk awam Syria terkesan apabila kediaman mereka turut menjadi sasaran serangan.
“Kebebasan itu amat berharga. Saya berharap rakyat Syria akan terus bersatu demi kecintaan terhadap negara mereka. Syria yang bersatu akan lebih stabil dan mampu mempertahankan diri daripada ancaman Israel,” katanya.
Beliau turut berdoa agar rakyat Syria diberikan keberkatan dan kekuatan untuk mengekalkan kebebasan yang dikecapi.
“Semoga Allah SWT memberkati kebebasan rakyat Syria,” tambahnya. – Dunia Palestin