Pasukan kerajaan kehilangan kawalan ke atas bandar kedua terbesar Syria, Aleppo, pada Ahad, buat pertama kali sejak konflik saudara bermula, menurut seorang pemantau perang.
Serangan pantas pembangkang itu memberikan tamparan hebat kepada Presiden Bashar al-Assad. Gabungan pembangkang yang dikuasai oleh golongan pejuang Islam melancarkan serangan ke atas pasukan kerajaan yang disokong Iran dan Russia pada hari Rabu, iaitu hari yang sama gencatan senjata berkuat kuasa di negara jiran Lubnan antara Israel dan Hizbullah yang disokong Iran, selepas dua bulan peperangan sengit.
Kumpulan jihad Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dan puak bersekutu mereka kini “menguasai bandar Aleppo, kecuali kawasan kejiranan yang dikawal oleh pasukan Kurdish,” kata Ketua Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain, Rami Abdel Rahman.
Buat pertama kali sejak perang saudara bermula lebih sedekad lalu, “bandar Aleppo kini berada di luar kawalan pasukan rejim Syria,” tambahnya.
Pemerhati itu melaporkan bahawa pesawat Syria dan Russia melancarkan serangan maut pada Ahad untuk menyokong kerajaan.
Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh di bandar itu, meningkatkan jumlah kematian awal daripada lima orang dalam serangan yang menyasarkan kawasan berhampiran universiti Aleppo.
Serangan udara Russia juga mengorbankan lapan orang awam, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, di kubu pembangkang di Idlib, menurut pemerhati itu.
Seorang penduduk Idlib, Umm Mohamed, berkata dia kehilangan menantu perempuannya, yang meninggalkan lima anak, termasuk seorang anak perempuan yang cedera.
“Kami sedang duduk di dalam bilik dan tiba-tiba kami mendengar bunyi letupan, dinding jatuh menimpa kami,” katanya ditemui di hospital.
“Kerana debu, tiada siapa dapat melihat orang lain… Saya bersama lima anak lelaki saya. Syukur alhamdulillah, kecederaan mereka ringan.”
Pada 2016 lalu, tentera Syria – dengan sokongan kuasa udara Russia – berjaya merampas semula kawasan Aleppo yang dikuasai pembangkang, sebuah bandar yang terkenal dengan bangunan kubu kota yang ikonik.
Damascus juga bergantung kepada pejuang Hizbollah untuk merampas semula wilayah Syria yang hilang kepada pembangkang pada awal perang, yang bermula pada 2011.
Namun, kini Hizbullah mengalami kerugian besar dalam pertempurannya dengan Israel. – Berita Harian