Tentera Israel tanam periuk api, sasar tangki oksigen di hospital

Rakyat Palestin yang cedera akibat serangan tentera Israel menunggu untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kamal Adwan. – Foto AFP

Tentera Israel terus melakukan jenayah perang ke atas penduduk Palestin ketika rundingan gencatan senjata dan perjanjian tebusan sedang berlangsung di Qatar dengan menanam periuk api ‘pada skala besar’ di kawasan hospital.

Rejim Zionis turut menyasarkan penjana elektrik, tangki oksigen dan air di kemudahan kesihatan, sekali gus mengancam nyawa pesakit yang mendapatkan rawatan akibat kecederaan.

Pertempuran sengit terus meningkat apabila tentera rejim Zionis melancarkan serangan ke kawasan di seluruh Semenanjung Gaza, termasuk Nuseirat, Rafah dan bahagian utara yang disekat selama lebih 70 hari tanpa sebarang bantuan keperluan asas.

Pengarah Hospital Kamal Adwan, Hossam Abu Safieh, berkata kawasan di utara Gaza berdepan situasi yang sangat sukar dengan terbaru tentera Israel menanam periuk api di kawasan sekitar kemudahan kesihatan itu.

“Terdapat beberapa serangan dalam tempoh 24 jam yang lalu, memerangkap rakyat Palestin di bawah runtuhan bangunan selepas dua rumah menjadi sasaran.

“Kami belum mempunyai maklumat penuh kerana kami tidak dapat mengakses kawasan itu. Ini kerana, tentera Israel memaksa pasukan pertahanan awam dan paramedik untuk mengosongkan kawasan.

“Hospital Kamal Adwan juga menghadapi situasi yang sangat sukar, dengan yang terbaru termasuk tentera Israel menanam periuk api di kawasan sekitar kemudahan ini.

“Selain itu, mereka juga menyasarkan unit rawatan rapi melalui penembak tepat yang ditempatkan di atas bumbung bangunan berhampiran dan pesawat ‘quadcopter’. Bumbung hospital juga menjadi sasaran dengan merosakkan tangki air, penjana elektrik dan bekalan oksigen menyebabkan kerosakan yang ketara,” katanya.

Hospital Kamal Adwan menjadi talian hayat kritikal bagi rantau ini, menawarkan penjagaan terhad tetapi penting dalam menghadapi kekurangan bekalan perubatan, kakitangan dan elektrik yang berterusan.

Kemusnahan infrastrukturnya memperdalam lagi cabaran bagi penyedia penjagaan kesihatan yang berusaha menyelamatkan nyawa di tengah-tengah konflik.

Agensi kemanusiaan dan pemimpin global secara konsisten menggesa gencatan senjata untuk membenarkan penyampaian bantuan dan perkhidmatan perubatan, tetapi keadaan di lapangan masih tidak menentu.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin maut ketika kereta kebal tentera Israel yang bergerak lebih dalam ke kawasan barat Rafah membedil rumah penduduk.

Pakar perubatan berkata, serangan udara Israel ke atas rumah di pinggir bandar Daraj di Gaza City memusnahkan bangunan dan merosakkan rumah berdekatan.

Empat orang lagi terbunuh dalam dua serangan udara di bandar Beit Lahiya, kata pegawai perubatan.

Setakat ini, tiada maklum balas segera daripada tentera Israel mengenai serangan itu. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tun Mahathir: Syria yang bersatu mampu pertahankan diri daripada Israel

Next Post

Hamas seru sokongan buat pejuang di Jenin, hidupkan “Hari Kemarahan”

Related Posts