Pergerakan Perjuangan Islam (Hamas) menyeru sokongan penuh terhadap perjuangan rakyat di Jenin, yang ketika ini berdepan tekanan daripada pihak berkuasa Palestin, selain mendesak penyertaan besar-besaran dalam aktiviti “Hari Kemarahan” untuk membela kem pelarian itu.
Pemimpin Hamas, Abdul Rahman Shadid, hari ini menegaskan keperluan mendukung dan memperkuatkan barisan pejuang bagi menghadapi serangan rejim Zionis dan tindakan pencerobohan pendatang haram Israel di Tebing Barat.
Beliau juga mengecam tindakan pihak berkuasa Palestin yang dianggap selari dengan agenda Israel untuk menghapuskan perjuangan rakyat Palestin.
“Pejuang perlu dibela dan diberi perlindungan sepenuhnya, bukannya dikejar atau disasarkan,” kata beliau. “Arah perjuangan kita mesti sentiasa fokus kepada penjajah.”
Abdul Rahman turut menyeru masyarakat Palestin dan semua pihak berkepentingan untuk melaksanakan inisiatif dan gerakan massa bagi melindungi perjuangan rakyat Jenin serta menghentikan tindakan represif pihak berkuasa Palestin, yang menurutnya boleh merosakkan kesatuan rakyat Palestin.
Jenin, yang menjadi pusat utama pejuang bersenjata Palestin di Tebing Barat, kini berada di bawah tekanan berterusan susulan operasi keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan yang dikatakan menyasarkan kumpulan pejuang. – Dunia Palestin