Operasi Taufan Al-Aqsa oleh Hamas yang bermula pada 7 Oktober 2023 dianggap sebagai kejayaan strategik bagi pergerakan itu dalam beberapa aspek, walaupun dengan korban besar yang dialami rakyat Palestin di Gaza.
Menurut Ahmad Nu’man Mazlan, Penyelidik Dunia Palestin, Hamas berjaya mencapai beberapa objektif penting, antaranya membebaskan tahanan Palestin, menggagalkan usaha normalisasi baharu dengan Israel, dan meraih sokongan global yang lebih kukuh terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Ketika rejim Israel mengalami tekanan antarabangsa yang semakin memuncak, kita melihat sokongan pelbagai bangsa dan agama di seluruh dunia kepada rakyat Palestin terus meningkat. Ini menandakan perubahan dimensi dalam solidariti global terhadap isu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa operasi tersebut mendedahkan kegagalan rejim Israel untuk mencapai tiga objektif utamanya, iaitu menghapuskan Hamas, menjajah Semenanjung Gaza, dan menghalau penduduk Gaza secara besar-besaran.
Walaupun angka kematian di Gaza telah mencecah lebih 47,000 orang, data daripada Biro Statistik Pusat Israel menunjukkan lebih 82,700 pendatang haram telah meninggalkan negara itu secara kekal sejak konflik tersebut tercetus. Jumlah sebenar kematian tentera Israel bagaimanapun tidak diumumkan, namun dianggarkan mencecah belasan atau puluhan ribu orang.
Ahmad Nu’man menambah bahawa situasi ini memberi tamparan hebat kepada Israel di medan pertempuran serta dalam konteks geopolitik antarabangsa. “Perkembangan ini menggambarkan bagaimana perjuangan rakyat Palestin mampu mengubah naratif antarabangsa walaupun berdepan kezaliman yang tidak berkesudahan,” katanya.
Perang tersebut terus menjadi tumpuan masyarakat dunia yang mendesak agar keganasan terhadap rakyat Palestin dihentikan dan penyelesaian adil dicapai segera. – Dunia Palestin