Israel dakwa bunuh seorang lagi pegawai tinggi Hizbullah dalam serangan Lubnan

Seorang lelaki berdiri di tapak serangan udara Israel yang membunuh pemimpin Hizbullah Lubnan Sayyed Hassan Nasrallah pada hari Jumaat, di pinggir selatan Beirut, Lubnan. – Foto REUTERS

Israel hari ini mengumumkan pihaknya membunuh seorang lagi pegawai kanan Hizbullah dalam serangan udara selepas memberi tamparan seismik kepada kumpulan yang disokong Iran dengan pembunuhan pemimpinnya, Hassan Nasrallah.

Pihaknya membunuh anggota majlis pusat Hizbullah yang dikenali sebagai Nabil Qaouq dalam serangan semalam, di samping tentera udaranya terus menyerang ‘berpuluh-puluh’ lagi sasaran di sekitar Lubnan.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Israel menumpukan serangan bagi memusnahkan struktur pemimpin kanan tertinggi Hizbullah, dengan orang kanan Nasrallah, Fuad Shukr, ketua elit Pasukan Radwan, Ibrahim Aqil serta pemimpin lain antara mereka yang terkorban.

Gelombang serangan minggu lalu ke atas kubu kuat Hizbullah di sekitar Lubnan juga menjerumuskan negara kecil Mediterranean dan wilayah yang lebih luas dalam ketakutan berikutan lebih banyak lagi keganasan dibimbangi akan tercetus.

Hizbullah melancarkan serangan rentas sempadan intensiti rendah ke atas tentera Israel selepas sekutu Palestinnya, Hamas melancarkan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel pada 7 Oktober, yang mana ia mencetuskan perang di Semenanjung Gaza.

Menjelang hampir setahun peperangan yang terus berlarutan, Israel mengumumkan peralihan fokus dengan kini memerangi Hizbullah di bahagian utaranya.

Hizbullah mengesahkan pembunuhan Nasrallah dalam serangan besar-besaran pada Jumaat lalu di benteng utama kumpulan itu di selatan Beirut.

Dengan Lubnan sudah terperangkap dalam krisis politik dan ekonomi, peralihan perang itu dengan pengeboman bertubi-tubi ini membunuh lebih 700 orang dalam tempoh seminggu, menurut data Kementerian Kesihatan.

Tentera Israel berkata, hari ini tentera udaranya menyerang ‘berpuluh-puluh sasaran pejuang Hizbullah’ selepas melakukan ‘ratusan’ serangan dalam tempoh dua hari lalu.

Ia kemudian mengumumkan Qaouq ‘disingkirkan dan dimusnahkan’ dalam serangan di selatan Beirut pada semalam.

Sehingga ini, Hizbullah belum membuat pengumuman rasmi kematian Qaouq tetapi sumber rapat dengan kumpulan itu berkata pemimpin itu sudah dibunuh.

Dalam pada itu, Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan beberapa serbuan di dalam dan sekitar bandar Baalbek di timur.

Katanya, sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah rumah di wilayah timur laut Hermel, manakala kumpulan tindak balas kecemasan yang bergabung dengan sekutu Hizbullah pergerakan Amal memaklumkan lima penyelamatnya terbunuh di selatan.

Hizbullah berkata, pejuangnya melancarkan roket ‘a volley of Fadi-1’ yang disasarkan pangkalan Israel di Bukit Golan awal pagi tadi.

Tentera Israel melaporkan kira-kira ‘lapan pelancaran dari Lubnan jatuh di kawasan tidak berpenduduk berhampiran wilayah yang diduduki Israel.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata pihaknya ‘menyelesaikan perselisihan’ dengan pembunuhan Nasrallah, manakala jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari berkata dunia ‘tempat lebih selamat’ tanpa Nasrallah.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dengan kerajaannya pembekal senjata utama Israel, berkata ia ‘langkah keadilan terhadap ramai mangsanya’.

Sementara itu, penganalisis berkata, kematian Nasrallah menyebabkan Hizbullah berada di bawah tekanan emosi mendalam untuk bertindak balas.

“Sama ada kita melihat reaksi yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh Hizbullah… atau ini kekalahan sepenuhnya,” kata Heiko Wimmen dari kumpulan pemikir Kumpulan Krisis Antarabangsa.

Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Iran, Amir Saeid Iravani menggesa diplomasi untuk menghalang Israel ‘daripada mengheret wilayah Lubnan ke dalam perang besar-besaran’.

Hamas mengutuk pembunuhan Nasrallah sebagai ‘tindakan pengganas yang pengecut’, manakala Lubnan, Iraq, Iran dan Syria semuanya mengisytiharkan perkabungan awam.

Kumpulan bersenjata bersekutu di seluruh wilayah seperti pemberontak Huthi Yaman, yang sudah terperangkap dalam perang Gaza berikrar bertindak ke atas Israel. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel serang pelabuhan Yaman, terus mengebom Lubnan

Next Post

Militia Iraq ancam serang UAE jika perang dengan Israel meletus

Related Posts