Israel serang pelabuhan Yaman, terus mengebom Lubnan

Gambar tangkap layar menunjukkan asap tebal menyelubungi ruang udara bandar pelabuhan Hodeida yang dikuasai pemberontak Houthi di Yaman selepas serangan Israel. – Foto AFP

Israel berkata, pihaknya mengebom sasaran kumpulan Houthi di Yaman pada Ahad dan meneruskan serangan udara di Lubnan, sekali gus memperluaskan konfrontasinya dengan sekutu Iran di rantau itu.

Menurut Israel, dua hari selepas membunuh pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, serangan udara ke atas pelabuhan Hodeidah di Yaman adalah tindak balas terhadap serangan peluru berpandu Houthi sejak beberapa hari lalu.

Ia berlaku di tengah-tengah kebimbangan pertempuran di Asia Barat melarat di luar kawalan dan turut menyebabkan campur tangan Iran serta sekutu utama Israel, Amerika Syarikat (AS).

Kementerian Kesihatan dikendalikan Houthi, berkata sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 29 cedera setakat ini.

Serangan itu berlaku ketika Israel menyerang lebih banyak sasaran di Lubnan, di mana pengeboman semakin sengit sejak dua minggu lalu mengakibatkan rentetan pemimpin tertinggi Hizbullah maut.

Kementerian Kesihatan Lubnan berkata serangan Israel pada Ahad mengorbankan sekurang-kurangnya 105 orang, termasuk 32 di Ain Deleb di selatan, 33 orang di timur laut Baalbek-Hermel dan 14 pegawai perubatan terbunuh dalam serangan udara sejak dua hari lalu.

Israel semalam berikrar untuk meneruskan serangannya, dengan kata ketua kakitangan tentera Israel, Herzi Halevi, menegaskan pihaknya perlu menggandakan lagi serangan ke atas Hizbullah.

Gambar tangkap layar menunjukkan orang ramai memeriksa kerosakan di bandar pelabuhan Hodeida yang dikuasai pemberontak Houthi di Yaman selepas serangan Israel. – Foto AFP

Dron Israel berlegar di sekitar Beirut semalaman dengan letupan kuat serangan udara baharu bergema di sekitar ibu negara Lubnan itu.

Hizbullah dan Israel saling berbalas serangan sejak permulaan perang di Gaza yang tercetus susulan serangan kumpulan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.

Houthi pula bertindak melancarkan serangan berkala ke atas Israel sepanjang tempoh itu dan mengganggu perkapalan di Laut Merah, sebagai tanda solidariti dengan perjuangan rakyat Palestin.

Israel dengan pantas meningkatkan serangannya terhadap Hizbullah dua minggu lalu, membunuh sebahagian besar kepimpinan kumpulan itu, dengan tujuan untuk menjadikan kawasan utaranya selamat bagi penduduk untuk kembali ke rumah mereka.

kementerian Pertahanan Israel kini sedang berbincang mengenai kemungkinan memperluaskan serangan tersebut.

Presiden AS, Joe Biden, ketika ditanya sama ada peperangan besar-besaran di Asia Barat boleh dielakkan, menegaskan ia mesti dielakkan dan akan berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, pula berkata: “Mesej kami jelas – bagi kami, tiada tempat yang terlalu jauh untuk diserang”. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hizbullah mengesahkan Sayyed Hassan Nasrallah terbunuh

Next Post

Israel dakwa bunuh seorang lagi pegawai tinggi Hizbullah dalam serangan Lubnan

Related Posts