Trend normalisasi Israel semakin meningkat di Asia Tenggara

Trend normalisasi hubungan dengan Israel kini dilihat semakin meningkat di rantau Asia Tenggara, dengan beberapa negara memperkukuh kerjasama diplomatik dan teknologi bersama rejim Zionis itu, sekali gus memberi tekanan baharu terhadap pendirian Malaysia dan ASEAN berhubung isu Palestin.

Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique berkata dalam satu sesi perbincangan bersama Dr. Elham Fakhro, iaitu penulis buku “Abraham Accords: The Gulf States, Israel, and the Limits of Normalization” baru-baru ini, jelas dilihat bahawa keperluan keselamatan dan ekonomi yang mendorong negara-negara Teluk untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel turut dirasai oleh beberapa negara di Asia Tenggara.

“Majoriti negara ASEAN kini telah menjalin hubungan rasmi atau tidak rasmi dengan Israel, sama ada melalui saluran diplomatik terbuka mahupun melalui kerjasama ketenteraan dan perisikan yang tidak dihebahkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Asyraf, perkembangan terbaharu menunjukkan Israel sedang meningkatkan usaha diplomatik terhadap Indonesia dengan sasaran untuk mencapai normalisasi hubungan dalam masa terdekat. Sekiranya berjaya, hanya Malaysia dan Brunei akan kekal sebagai dua negara di rantau ini yang masih tegas mempertahankan prinsip solidariti bersama Palestin.

Beliau menegaskan, persoalan strategik utama kini ialah sejauh mana Malaysia mampu mempertahankan pendiriannya dalam arus normalisasi yang semakin kuat dan disokong oleh kuasa-kuasa global.

“Pendekatan Singapura juga perlu diperhatikan dengan teliti. Pertemuan-pertemuan terbaru antara Singapura dan Israel memberi isyarat bahawa republik itu sedang menonjolkan diri sebagai pihak pragmatik atau dalam bahasa lain, penjaga kepentingan Israel di rantau ini,” katanya.

Tambah beliau, langkah tersebut boleh menggugat keharmonian dan kestabilan serantau sekiranya naratif Zionis mula mempengaruhi dasar dan persepsi terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Cubaan membawa masuk kepentingan Zionis ke dalam rantau ini merupakan ancaman kepada keamanan dan perpaduan serantau. Jika pandangan Zionis terhadap siapa yang digelar ‘pengganas’ diterima bulat-bulat, ia akan menjadi masalah besar kepada kestabilan Asia Tenggara,” tegasnya.

Asyraf turut menyeru agar Malaysia menyusun semula naratif strategik dan dasar luar negara yang lebih proaktif dan berpaksikan kepimpinan moral dalam mengemudi isu Palestin di peringkat antarabangsa.

“Normalisasi bukan lagi fenomena Timur Tengah semata-mata, tetapi telah menjadi alat geopolitik global yang kini meresap ke rantau kita,” katanya. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kazakhstan umum sertai Perjanjian Abraham untuk normalisasi Israel

Next Post

Hamas sokong waran tangkap Turki terhadap 37 pegawai Israel

Related Posts