Hamas bertemu Menteri Luar Turki bincang henti serangan Zionis

Delegasi kepimpinan Hamas yang diketuai oleh Ketua Majlis Kepimpinan Gerakan itu, Mohammad Darwish mengadakan pertemuan rasmi dengan Menteri Luar Negeri Turki, Hakan Fidan di Ankara pada Sabtu bagi membincangkan usaha menghentikan serangan berterusan rejim Zionis ke atas Gaza.

Menurut kenyataan Hamas, perbincangan turut meliputi pandangan gerakan itu mengenai usaha mencapai perjanjian menyeluruh merangkumi pertukaran tahanan, penghentian perang, pembinaan semula Gaza dan pengakhiran sekatan ke atas wilayah tersebut.

Delegasi Hamas turut menyuarakan kebimbangan terhadap berterusan jenayah pembunuhan beramai-ramai, kelaparan yang disengajakan serta usaha penjajahan Israel untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka.

Dalam pertemuan itu, Hakan Fidan menegaskan pendirian tegas Turki menolak usaha rejim Zionis mengenakan kelaparan terhadap rakyat Palestin dengan menyekat bantuan kemanusiaan.

“Komuniti antarabangsa perlu menggandakan usaha bagi memastikan bantuan makanan dan keperluan asas disalurkan kepada penduduk Gaza,” kata beliau sambil mengulangi komitmen Ankara untuk terus menyokong perjuangan Palestin ke arah kebebasan dan kemerdekaan.

Pertemuan itu turut menyentuh tentang serangan berterusan rejim Zionis di Tebing Barat dan Baitulmaqdis serta pencabulan harian terhadap Masjid Al-Aqsa.

Kedua-dua pihak turut membincangkan langkah-langkah penyatuan dalaman Palestin termasuk pembentukan kerajaan perpaduan atau cadangan Mesir menubuhkan jawatankuasa sokongan masyarakat di Gaza. Dalam hal ini, Turki menyatakan kesediaan untuk membantu dari segenap aspek.

Antara tokoh Hamas yang hadir ialah Khaled Meshaal, Dr Khalil al-Hayya, Zaher Jabarin, Nizar Awadallah dan wakil Hamas di Turki, Mousa Akkari.

Delegasi Hamas sebelum ini turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Perisikan Turki, Dr Ibrahim Kalin. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bantu Palestin dengan semangat jihad dan pengorbanan

Next Post

Jihad untuk Palestin: Fatwa dan Tindakan

Related Posts