Abu Ubaidah: Tekanan di Tebing Barat hanya akan membawa kebangkitan

Jurucakap al-Qassam, Abu Ubaidah menegaskan bahawa peningkatan tekanan dan serangan penjajah Israel di Tebing Barat hanya akan mencetuskan kebangkitan rakyat Palestin, bukannya melemahkan semangat perjuangan mereka.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, beliau berkata peningkatan operasi penentangan terhadap tentera Israel serta tindakan penduduk Palestin mempertahankan harta benda mereka daripada serangan pendatang Zionis membuktikan bahawa rakyat Palestin tidak akan tunduk kepada penindasan.

“Tekanan yang semakin memuncak hanya akan membawa kepada ledakan kebangkitan, bukannya menundukkan rakyat kami yang bermaruah seperti yang disangka oleh penjajah Zionis,” katanya.

Abu Ubaidah turut menyampaikan penghormatan kepada bandar Jenin yang disifatkannya sebagai “saudara seperjuangan Gaza” dalam keberanian dan ketabahan, selain memuji para pejuang yang berjaya melancarkan serangan terhadap tentera Israel di kawasan al-Jabariyat meskipun berdepan operasi ketenteraan yang intensif.

Beliau berkata, keteguhan penduduk dan pejuang di Jenin mencerminkan semangat rakyat Palestin yang terus mempertahankan hak mereka walaupun berdepan tekanan ketenteraan yang berterusan.

Menurutnya, perkembangan semasa di Tebing Barat menunjukkan bahawa rakyat Palestin masih berpegang teguh kepada perjuangan mereka dan tidak akan menerima penindasan atau penjajahan yang berterusan.

Kenyataan itu dibuat ketika Israel terus meningkatkan operasi ketenteraan di beberapa kawasan di Tebing Barat, termasuk Jenin, yang sering menjadi sasaran serbuan dan serangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas beri amaran peningkatan rampasan tanah di Tebing Barat

Related Posts