Gerakan Hamas pada Selasa membidas dakwaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menuduh pergerakan itu menolak tawaran gencatan senjata di Gaza.
Dalam satu kenyataan, Hamas menegaskan pihaknya tidak pernah menjadi penghalang kepada usaha mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, sebaliknya telah menunjukkan sikap fleksibel dan positif dalam rundingan.
“Hakikatnya, semua pihak termasuk pentadbiran Amerika Syarikat, para perantara dan masyarakat antarabangsa tahu bahawa penjenayah perang Netanyahu adalah penghalang utama kepada sebarang usaha mencapai perjanjian,” kata kenyataan itu.
Menurut Hamas, Netanyahu bertindak membatalkan perjanjian yang dicapai pada Januari lalu serta menolak cadangan Witkoff yang telah dipersetujui Hamas. Malah, dia mengarahkan serangan udara ke atas lokasi mesyuarat delegasi Hamas di Doha ketika rundingan sedang membincangkan cadangan terbaharu yang dikemukakan Trump.
Hamas turut menggesa pentadbiran Amerika Syarikat berpihak kepada nilai keadilan dan mengambil langkah tegas bagi memaksa Israel menghentikan jenayah yang digambarkan sebagai pembunuhan beramai-ramai, pembersihan etnik serta pengusiran paksa terhadap rakyat Palestin.
“Washington perlu menarik balik perlindungan politik dan ketenteraan yang diberikan kepada rejim penjajah Israel dalam perang kejam ini,” tegas kenyataan itu lagi. – Dunia Palestin