Lebih 700 rakyat Palestin, majoritinya kanak-kanak, telah terbunuh akibat tembakan tentera Israel ketika mengambil air sejak Oktober 2023, menurut pihak berkuasa tempatan pada Isnin.
“Penjajah Israel terus melancarkan perang kehausan secara sistematik dan disengajakan terhadap rakyat Palestin di Gaza, satu pelanggaran nyata terhadap semua konvensyen antarabangsa dan kemanusiaan,” kata Pejabat Media Kerajaan di Gaza dalam satu kenyataan.
Pejabat itu menuduh tentera Israel menggunakan air sebagai senjata perang “bagi menafikan hak asasi rakyat Palestin.”
Ia turut memaklumkan bahawa tentera Israel telah melakukan 112 pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza yang sedang mendapatkan air, membunuh lebih 700 orang, kebanyakannya kanak-kanak, sejak Oktober 2023.
Pada Ahad, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, termasuk lapan kanak-kanak, akibat tembakan tentera Israel ketika menunggu giliran mengambil air di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.
Pejabat media itu juga melaporkan bahawa lebih 720 telaga air telah dimusnahkan secara sengaja oleh tentera Israel di Gaza.
“Serangan terhadap telaga air telah menyebabkan lebih 1.25 juta rakyat Palestin kehilangan akses kepada air bersih,” tambahnya.
Menurut kenyataan itu lagi, tentera Israel telah menghalang kemasukan 12 juta liter bahan api setiap bulan — jumlah minimum yang diperlukan untuk mengoperasikan telaga air, loji kumbahan, sistem pengumpulan sampah dan sektor penting lain di Gaza.
“Tindakan ini telah menyebabkan kelumpuhan sepenuhnya terhadap sistem bekalan air dan kumbahan serta penularan wabak penyakit, terutama dalam kalangan kanak-kanak,” kata kenyataan itu lagi.
Pejabat media Gaza menyeru masyarakat antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia agar segera bertindak menghentikan penggunaan air sebagai senjata perang oleh Israel dan membenarkan kemasukan bahan api serta jentera berat untuk menghidupkan semula sistem bekalan air dan kumbahan.
Israel terus menutup lintasan ke Gaza sejak 2 Mac, menghalang kemasukan makanan, perubatan dan bantuan kemanusiaan, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah sedia parah dan mendorong wilayah itu ke ambang kebuluran yang telah meragut banyak nyawa. – Anadolu