Hamas menyeru rakyat Palestin di Tebing Barat untuk meningkatkan penentangan terhadap pendatang haram Israel berikutan insiden serangan ganas di kawasan timur Qalqilya.
Dalam kenyataan pada Isnin, Hamas mengecam tindakan pendatang haram yang menyerang dua kampung, Fandaq dan Jinsafut, dengan melakukan pembakaran, kerosakan harta benda, dan penyeksaan terhadap penduduk tempatan.
“Serangan ganas ini, yang disokong oleh kerajaan rejim Zionis yang ekstremis, adalah bukti jelas terhadap agenda fasis dan dasar penjajahan yang ingin menghapuskan rakyat Palestin serta tanah mereka,” kata kenyataan itu.
Hamas turut menyeru rakyat Palestin di seluruh wilayah Tebing Barat untuk melancarkan “intifada besar-besaran” sebagai tindak balas terhadap serangan tersebut.
Menurut Hamas, tindakan pendatang haram yang diberi kebebasan oleh tentera Israel untuk menyerang sambil rejim itu memperketat sekatan dan menambah pos kawalan tentera di seluruh Tebing Barat, hanya akan menyemarakkan lagi semangat perjuangan rakyat Palestin.
“Rakyat Palestin tidak akan menyerah atau berkompromi dengan hak mereka. Sebaliknya, mereka akan terus bangkit dengan lebih berani untuk mempertahankan tanah air mereka,” tegas kenyataan itu.
Konflik di Tebing Barat terus memuncak dengan laporan peningkatan keganasan oleh pendatang haram Israel, mencetuskan kebimbangan komuniti antarabangsa terhadap keselamatan penduduk Palestin. – Dunia Palestin