28 terbunuh, 54 cedera selepas Israel serang sekolah

Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh, manakala 54 orang lagi cedera dalam serangan udara tentera Israel ke atas sebuah sekolah di Deir el-Balah di Gaza. – Foto AGENSI

Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh, manakala 54 orang lagi cedera dalam serangan udara tentera Israel ke atas sebuah sekolah di Deir el-Balah di Gaza hari ini, kata Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Tentera Israel bagaimanapun mendakwa, serangan itu disasarkan kepada pusat komando pejuang Hamas.

Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas mengeluarkan angka kematian yang sama dalam satu kenyataan.

Tentera Israel dalam satu kenyataan, berkata serangan itu menyasarkan Hamas yang didakwa beroperasi dari pusat komando yang terletak dalam sebuah kompleks yang sebelum ini berfungsi sebagai Sekolah Rafida.

Tentera Israel bagaimanapun tidak menyatakan berapa jumlah mereka yang terkorban, namun mendakwa pusat komando itu digunakan untuk merancang dan melaksanakan serangan pengganas terhadap pihaknya.

Serangan terbabit adalah yang terbaharu dalam siri serangan Israel ke atas bangunan sekolah menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza.

Menurut agensi pertahanan awam Gaza, sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dalam satu lagi serangan di sekolah yang dijadikan tempat perlindungan di kem Jabalia di utara Gaza, pada 26 September lalu.

Tentera Israel kini dikatakan terbabit dalam operasi besar-besaran di Jabalia.

Tentera Israel menuduh Hamas bersembunyi di bangunan sekolah yang menempatkan ribuan penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal, namun perkara itu dinafikan oleh kumpulan itu.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan kendalian Hamas, sekurang-kurangnya 42,065 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam terbunuh dalam serangan tentera Israel di Gaza sejak perang tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan bahawa angka terbabit adalah boleh dipercayai. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Malaysia gesa AS guna pengaruh segerakan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735

Next Post

IRIS lancar e-buku fokus langkah strategik pembebasan Palestin

Related Posts