Malaysia gesa AS guna pengaruh segerakan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken (kanan) dalam Mesyuarat Dua Hala di antara Malaysia dan Setiausaha Negara AS sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Nasional, Vientiane. – Foto REUTERS

Malaysia menggesa Amerika Syarikat (AS) menggunakan pengaruhnya untuk melaksanakan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2735 (2024) dengan segera bagi menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS Ke-12 di sini, semalam.

Perdana Menteri juga menyatakan penghargaan kepada peranan utama yang dimainkan AS dalam resolusi itu.

Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735 (2023) menggariskan cadangan tiga fasa oleh AS, yang menggesa kepada gencatan senjata segera, kekal dan berkesan.

Ia termasuk pembebasan tebusan, pertukaran tahanan warga Palestin dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza, selain menggesa penyaluran bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan, serta pembinaan semula wilayah itu.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengalu-alukan cadangan pelaburan sebanyak AS$14.7 bilion (RM63.08 bilion) oleh gergasi teknologi AS ke Malaysia dan berharap dapat memperkukuh kerjasama dalam industri yang sedang berkembang.

Syarikat gergasi membabitkan Google, Microsoft, Enovix Corporation, Amazon Web Services, Abbott Laboratories dan Boeing.

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan delegasi AS ke Dialog Pegawai Kanan berikutnya di Putrajaya pada akhir Oktober ini, sempena sambutan ulang tahun ke-10 Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken (dua dari kanan) bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri) ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Nasional, Vientiane. – Foto AFP

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata semua negara ASEAN membangkitkan mengenai isu Gaza pada sidang kemuncak itu dan menggesa kekejaman serta pembunuhan rakyat Palestin dihentikan.

Beliau dan Perdana Menteri juga bertanya kepada pihak Blinken mengenai bila masalah dan pembunuhan rakyat Palestin, yang kini sudah merebak ke Lubnan boleh diredakan serta dihentikan.

“Bagaimanapun nampaknya, tiada jawapan konkrit yang boleh diberikan pihak Blinken dan beliau mengatakan semua pihak, termasuk AS mahu melihat peperangan ini tidak merebak dan dihentikan segera.

“Kita tahulah Israel yang begitu angkuh dan tidak mahu dengar cakap sesiapa, dan kita harap negara sekutu mereka yang membekalkan senjata kepada mereka ini sekarang fahamlah sifat sebenar orang Israel ini.

“Jadi, mereka yang membesarkan raksasa dan mereka harus mengawal raksasa mereka ini,” katanya. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Khaled Meshaal seru dunia Arab bina kekuatan sebenar bantu Palestin

Next Post

28 terbunuh, 54 cedera selepas Israel serang sekolah

Related Posts