Hamas patuhi pelan 15 perkara Gaza, Israel tolak dan gagal laksanakannya

Hamas menegaskan pihaknya mematuhi pelan hala tuju 15 perkara untuk Gaza yang dikemukakan oleh Nikolay Mladenov, manakala Israel menolak dan gagal melaksanakan komitmen di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

Penasihat Media kepada Ketua Biro Politik Hamas, Taher al-Nunu berkata peralihan kepada fasa kedua memerlukan pelaksanaan semua komitmen yang dipersetujui mengikut urutan ditetapkan.

Dalam temu bual bersama saluran Al Arabiya, beliau mendakwa Israel menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, dengan hanya kira-kira 200 trak dibenarkan masuk setiap hari berbanding 600 trak yang ditetapkan dalam perjanjian.

Beliau turut mendakwa bekalan makanan, khemah, bahan perlindungan, peralatan perubatan dan ubat-ubatan masih disekat serta menggesa siasatan antarabangsa yang bebas terhadap dakwaan penyelewengan bantuan.

Al-Nunu juga menafikan Hamas pernah menerima cadangan penyerahan senjata secara terhad di Rafah sebagai pertukaran bagi pengunduran tentera Israel, sambil mendakwa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak pelan 15 perkara itu tiga hari selepas ia dikemukakan oleh Lembaga Keamanan.

Mengenai isu senjata, beliau berkata perkara itu berkait dengan pelaksanaan fasa kedua Pelan Trump, namun jawatankuasa pentadbiran dan pasukan antarabangsa yang sepatutnya mengendalikan proses berkenaan masih belum memasuki Gaza.

Dalam perkembangan lain, al-Nunu menyatakan kesediaan Hamas untuk mengambil bahagian dalam pembinaan semula Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan menggesa dialog nasional disambung semula bagi mencapai persetujuan mengenai kepimpinan, fasa peralihan serta program politik Palestin.

Beliau menegaskan pilihan raya merupakan prinsip tetap Hamas dan pelaksanaannya perlu ditentukan melalui persepakatan nasional.

Mengulas operasi 7 Oktober, al-Nunu berkata masih terlalu awal untuk membuat penilaian muktamad kerana kesannya masih berterusan. Beliau turut menyeru negara-negara Arab dan Islam menyelesaikan perselisihan melalui dialog serta bersatu menghadapi projek “Israel Raya”. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Syeikh Raed Salah gesa rakyat Palestin teruskan menziarahi Masjid al-Aqsa

Related Posts