Pergerakan Perjuangan Islam (Hamas) menggesa umat Islam dan masyarakat antarabangsa yang cintakan keadilan agar mengadakan demonstrasi besar-besaran di seluruh dunia pada hujung minggu ini, sempena genap 600 hari serangan berterusan rejim Zionis ke atas Semenanjung Gaza.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, pergerakan itu menyifatkan tindakan ketenteraan Israel sebagai “Holocaust Zionis” yang mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai serta kelaparan terhadap orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang tidak berdosa.
“Kami menyeru seluruh umat dan para pencinta kebebasan di seluruh dunia untuk menggandakan mobilisasi dan tindakan di bandar-bandar serta dataran umum bagi menyatakan penolakan terhadap jenayah genosid serta sekatan makanan ke atas rakyat kami di Gaza,” menurut kenyataan itu.
Hamas turut menetapkan Jumaat, Sabtu dan Ahad ini, iaitu pada 30 dan 31 Mei serta 1 Jun, sebagai hari-hari kemarahan global melalui pelbagai bentuk demonstrasi, perarakan dan perhimpunan aman.
Kenyataan itu juga menegaskan bahawa serangan Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta nilai-nilai kemanusiaan dan keagamaan sejagat.
Sejak serangan rejim Zionis dilancarkan pada 7 Oktober 2023, lebih 35,000 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh, manakala ratusan ribu lagi kehilangan tempat tinggal dengan kemusnahan meluas terhadap infrastruktur awam, termasuk hospital dan sekolah. – Dunia Palestin