Genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza masih berterusan walaupun perjanjian gencatan senjata telah diumumkan pada Oktober tahun lalu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala.
Menurut beliau, dakwaan bahawa perang telah berakhir adalah tidak tepat kerana tentera penjajah Israel masih meneruskan pembunuhan, sekatan dan kemusnahan terhadap penduduk Gaza.
Dr. Sharif berkata, Israel gagal mematuhi syarat gencatan senjata, termasuk membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan bahan keperluan untuk pemulihan Gaza, selain terus meluaskan kawasan larangan yang dikenali sebagai “Garisan Kuning” sehingga meliputi kira-kira 70 peratus Semenanjung Gaza.
Beliau turut mendakwa kira-kira 1,200 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata bermula, manakala serangan udara dan dron masih menyasarkan kawasan perlindungan, rumah sementara serta orang awam.
“Semua ini membuktikan bahawa genosid di Gaza belum berhenti. Ia masih diteruskan dengan kezaliman dan kekejaman yang sama seperti sebelum gencatan senjata,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan lebih tegas bagi menghentikan genosid yang masih berlaku di Gaza. – Dunia Palestin