Sebanyak 11 lori kargo yang membawa bantuan kecemasan melalui kempen `The Rightful Gift’ tiba di Gaza, semalam dengan misi untuk mengurangkan kesengsaraan penduduk Palestin yang kini menghadapi musim sejuk, lapor TV Pertiwi.
Kempen diketuai Global Hayat bersama Komuniti Dakwah Tarbiah, Kelab Perwira Malaysia dan Nisa Al-Khair, membolehkan penghantaran kargo berisi 5,400 kotak makanan asas dan 100 tan gandum bernilai RM2.8 juta yang berjaya menembusi pintu sempadan Rafah–Gaza.
Pengarah Kempen ‘The Rightful Gift’, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, bantuan itu kini dalam proses pengagihan kepada keluarga yang paling terkesan di utara Gaza dan Bandar Gaza.

Menurutnya, ini merupakan pencapaian penting dalam misi bantuan pasca serangan besar-besaran sejak Oktober 2023 dan membuka laluan kepada fasa baharu penghantaran bantuan melalui jalan darat ke sempadan Rafah.
“Dalam kempen yang sama bulan lalu, Global Hayat berjaya mengagihkan bantuan bernilai RM 1.6 juta dalam bentuk masakan panas, roti, kotak makanan, perubatan, susu, diaper, kayu api, pakaian, selimut dan khemah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Muhd Farhan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Global Hayat berkata, melalui bantuan yang diuruskan oleh wakil pihaknya di Gaza, nilai bantuan keseluruhan untuk dua bulan, iaitu Oktober dan November adalah sebanyak RM 4.4 juta yang memberikan manfaat kepada hampir 80,000 orang penduduk Gaza.
Selain itu, katanya Global Hayat membuka gudang ‘The Rightful Gift’ di Gaza bagi memudahkan penyelerasani penghantaran bantuan dari genggaman dagangan bantuan di Gaza.
Menurutnya, bantuan berkenaan adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia dan Nusantara yang bersama-sama menjayakan misi kemanusiaan tanpa henti sejak Oktober 2023.
Beliau menegaskan bahawa ini bukan kejayaan satu organisasi sahaja, tetapi kejayaan seluruh masyarakat yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan, mendoakan dan menyokong rakyat Gaza.
“Kami juga berbesar hati membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana NGO (pertubuhan bukan kerajaan), syarikat korporat dan agensi kerajaan yang ingin sertai bersama dalam Kempen ‘The Rightful Gift’ bagi menyalurkan bantuan yang seterusnya supaya bantuan lebih besar dan lebih tersusun,” katanya.
Seiring perkembangan positif pembukaan laluan bantuan, beliau berkata Global Hayat menyasarkan penghantaran sebanyak 50 lori kargo ke Gaza dalam fasa pertama hingga akhir Mac 2026.
Katanya, misi ini akan diteruskan tanpa henti dan berharap rakyat Malaysia untuk terus bersama dalam misi kemanusiaan ini.
“Setiap sumbangan, kecil atau besar, memberi kesan langsung kepada saudara kita di Gaza yang kini melalui fasa paling mencabar dalam hidup mereka, fasa pasca perang dalam musim sejuk dan tidak lama lagi akan masuk bulan Ramadan.
“Semoga segala usaha ini menjadi saksi bahawa Malaysia dan Nusantara tidak pernah meninggalkan Gaza, dalam apa jua keadaan,” katanya. – Dunia Palestin