Pemimpin kanan Hamas, Osama Hamdan menegaskan bahawa pejuang Palestin tidak akan meletakkan senjata dan perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana rundingan.
Bercakap dalam program “Al-Masaa’iyah” di saluran Al Jazeera Mubasher pada Khamis, beliau menegaskan bahawa perjuangan bersenjata merupakan satu-satunya jalan bagi menamatkan penjajahan Israel ke atas bumi Palestin.
“Perjuangan ini hanya akan berakhir apabila sebuah negara Palestin yang berdaulat berjaya didirikan,” katanya.
Mengulas kenyataan terbaru Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengenai kemungkinan penempatan pasukan Arab di Gaza, Hamdan menegaskan bahawa mana-mana pasukan yang ditubuhkan dengan kerjasama Israel akan dianggap sebagai “pasukan penjajah”.
“Sebarang pasukan Arab yang ditubuhkan mengikut kehendak Netanyahu adalah sebahagian daripada penjajahan dan akan dianggap musuh yang bekerjasama dengan entiti Zionis,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kenyataan Netanyahu sebagai tanda kegagalan rejim itu dalam menghadapi tentangan pejuang Palestin, dan memberi amaran bahawa pembabitan kuasa luar hanya akan menambahkan kekusutan krisis.
Dalam masa sama, Hamdan mengkritik pendirian antarabangsa yang didakwanya lemah dan gagal bertindak terhadap jenayah Israel, serta menolak tuduhan bahawa Hamas menjadi punca kepada krisis yang berlarutan di Gaza.
“Israel tidak mampu berhadapan secara langsung dengan kami. Tuduhan bahawa kami menyebabkan penderitaan rakyat adalah satu kejahilan,” tegasnya. – Dunia Palestin