Wasiat akhir Anas al-Sharif, wartawan Gaza yang syahid

Inilah yang diminta oleh Anas al-Sharif untuk disiarkan apabila beliau syahid:

Ini adalah wasiat dan pesanan terakhir saya. Jika kata-kata ini sampai kepada anda, ketahuilah bahawa Israel telah berjaya membunuh saya dan membisukan suara saya. Pertama sekali, salam sejahtera ke atas kamu serta rahmat Allah dan keberkatan-Nya.

Allah mengetahui bahawa saya telah memberikan segala usaha dan seluruh kekuatan saya untuk menjadi sandaran dan suara buat rakyat saya, sejak saya membuka mata kepada kehidupan di lorong-lorong dan jalan-jalan kem pelarian Jabalia.

Harapan saya adalah agar Allah memanjangkan usia saya supaya saya dapat kembali bersama keluarga dan orang tersayang ke bandar asal kami di Asqalan (Al-Majdal) yang dijajah. Namun, ketetapan Allah mengatasi segalanya dan keputusan-Nya adalah muktamad.

Saya telah melalui penderitaan pada setiap detik, merasai kesakitan dan kehilangan berkali-kali, namun tidak pernah sekalipun saya ragu untuk menyampaikan kebenaran sebagaimana adanya, tanpa putar belit atau pemalsuan, agar Allah menjadi saksi terhadap mereka yang berdiam diri, mereka yang merestui pembunuhan kami, mereka yang merampas nafas kami, dan hati mereka tidak tersentuh oleh serpihan tubuh anak-anak dan wanita kami yang berserakan, serta tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang telah dihadapi rakyat kami selama lebih setahun setengah.

Saya amanahkan kepada kamu Palestin, permata dalam mahkota dunia Islam, degupan jantung setiap insan merdeka di dunia ini. Saya amanahkan kepada kamu rakyatnya, anak-anaknya yang dizalimi dan tidak bersalah, yang tidak pernah sempat bermimpi atau hidup dalam keamanan dan kedamaian. Tubuh-tubuh suci mereka dihancurkan di bawah ribuan tan bom dan peluru berpandu Israel, dikoyakkan dan berselerakan di dinding-dinding.

Saya menyeru agar kamu jangan membiarkan sekatan membisukanmu, atau sempadan menghalangmu. Jadilah jambatan menuju pembebasan tanah Palestin dan rakyatnya, sehingga terbit mentari maruah dan kebebasan di tanah air kita yang dicuri.

Saya amanahkan kamu untuk menjaga keluarga saya. Saya amanahkan kamu menjaga puteri saya yang tercinta, Syam, cahaya mata saya, yang tidak sempat saya lihat membesar seperti yang saya impikan.

Saya amanahkan kamu menjaga putera saya yang tersayang, Solah, yang saya harapkan dapat saya bimbing dan damping sehingga dia cukup kuat untuk memikul beban saya dan meneruskan perjuangan ini.

Saya amanahkan kamu menjaga ibu saya yang tercinta, yang dengan doa-doa berkatnya saya berada di tempat saya sekarang, yang doanya menjadi benteng saya dan cahayanya menerangi jalan saya. Saya berdoa agar Allah mengurniakan kekuatan kepadanya dan membalasnya bagi pihak saya dengan sebaik-baik ganjaran.

Saya juga amanahkan kamu menjaga teman hidup saya, isteri saya yang tersayang Umm Solah (Bayan), yang telah dipisahkan oleh perang daripada saya selama berbulan-bulan dan hari-hari yang panjang. Namun, dia tetap setia pada ikatan kami, teguh seperti batang pokok zaitun yang tidak tunduk, sabar, bertawakal kepada Allah, dan memikul tanggungjawab ketiadaan saya dengan segala kekuatan dan keimanan.

Saya menyeru agar kamu berada di sisi mereka, menjadi pendokong mereka selepas Allah Yang Maha Tinggi. Jika saya mati, saya mati dalam keadaan teguh di atas prinsip saya. Saya bersaksi di hadapan Allah bahawa saya reda dengan ketetapan-Nya, yakin akan pertemuan dengan-Nya, dan pasti bahawa apa yang di sisi Allah adalah lebih baik dan kekal abadi.

Ya Allah, terimalah saya dalam kalangan para syuhada, ampunkan dosa-dosa saya yang lalu dan akan datang, dan jadikan darah saya cahaya yang menerangi jalan kebebasan untuk rakyat saya dan keluarga saya. Ampunilah saya jika saya pernah khilaf, dan doakanlah saya dengan rahmat, kerana saya telah menunaikan janji dan tidak pernah mengubah atau mengkhianatinya.

Jangan lupakan Gaza… Dan jangan lupakan saya dalam doa-doa ikhlas kamu untuk keampunan dan penerimaan.

Anas Jamal al-Sharif
6 April 2025

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas: Pejuang tidak akan letak senjata sehingga kemerdekaan

Next Post

Hamas: Wartawan Palestin sentiasa di barisan hadapan perjuangan

Related Posts