Kumpulan pejuang Palestin, Hamas pada Khamis menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan serius bagi menamatkan serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Pemimpin Hamas, Mahmoud Mardawi berkata rakyat Palestin telah bertindak secara bertanggungjawab dan serius terhadap semua cadangan gencatan senjata di Gaza.
“Israel mengingkari perjanjian, memungkiri janji kepada pihak perantara, dan meneruskan kempen pembunuhan serta peningkatan serangan,” tambahnya dalam satu kenyataan.
Mardawi menegaskan bahawa tindakan Israel menjadi ujian kepada masyarakat antarabangsa.
“Sama ada komuniti antarabangsa menegakkan undang-undang antarabangsa dan keadilan atau terus mengamalkan dwistandard, yang bukan sahaja membahayakan Palestin tetapi seluruh rantau,” katanya.
Dalam tempoh 18 bulan lalu, Hamas telah terlibat dalam rundingan tidak langsung dengan Israel melalui perantaraan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat. Walaupun beberapa perjanjian dicapai, Tel Aviv berulang kali melanggarnya, menghalang penyelesaian muktamad.
Sementara itu, media kerajaan Mesir melaporkan bahawa delegasi keselamatan telah berangkat ke Qatar bagi meneruskan rundingan yang bertujuan membebaskan tahanan dan tebusan sebagai usaha sementara untuk meredakan ketegangan di Gaza.
Pada Rabu, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi menekankan bahawa Mesir sedang “bekerja secara berterusan untuk memastikan gencatan senjata di Gaza dan melaksanakan fasa-fasa seterusnya”, sambil menyeru usaha digembleng “bagi menghentikan pertumpahan darah serta mengembalikan ketenangan dan kestabilan di rantau ini”.
Tentera Israel melancarkan serangan udara mengejut ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac, mengorbankan 855 orang, mencederakan hampir 1,900 yang lain, serta merosakkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang berkuat kuasa sejak Januari. – Anadolu