Ahli politik Israel, Mossi Raz mencadangkan bahawa Israel sedang menuju ke arah “krisis perlembagaan yang sangat mendalam” dan kemungkinan kejatuhan keseluruhan rejim akibat dasar-dasar Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
“Perpecahan di Israel tidak berkaitan dengan rakyat Palestin,” kata Raz, bekas anggota Knesset dari Parti Meretz yang berhaluan kiri, dalam wawancara dengan Anadolu.
“Perpecahan ini berlaku antara penyokong Netanyahu, yang menyokong segala tindakannya untuk melemahkan demokrasi, menggalakkan rasuah, dan mencabuli hak rakyat, serta penentangnya, yang kurang memberikan tentangan mencukupi terhadap pendudukan (Israel), sesuatu yang saya tidak berpuas hati dengannya.”
“Inilah isu utama di Israel. Inilah pertarungannya,” kata Raz. “Israel tidak pernah menyaksikan demonstrasi sebesar ini sebelum ini.”
Protes besar-besaran tercetus di seluruh Israel dalam beberapa hari kebelakangan ini susulan keputusan kerajaan memecat ketua Shin Bet, Ronen Bar, dan menarik balik kepercayaan terhadap Peguam Negara, Gali Baharav-Miara, yang dilihat sebagai usaha untuk memperkukuhkan kawalan Netanyahu ke atas institusi negara.
Para penunjuk perasaan turut menuntut agar serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza dihentikan bagi mengelakkan risiko terhadap nyawa warga Israel yang ditawan di Gaza.
“Separuh daripada rakyat menolak protes ini, manakala separuh lagi menyokongnya. Ia sangat berbahaya. Ia tidak sihat,” kata Raz. – Anadolu