Serangan terkini tentera Israel di kem al-Faraa berhampiran Tubas, Tebing Barat, meragut nyawa tiga lagi warga Palestin, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA), sekali gus meningkatkan kebimbangan perang di Gaza kini akan diteruskan Israel di Tebing Barat.
Pasukan keselamatan mendakwa ketiga-tiga individu itu maut selepas tentera Israel melepaskan tembakan dan menembak peluru hidup ke arah rumah mereka.
Tentera Israel dalam satu kenyataan semalam mendakwa, ketiga-tiga individu itu adalah ‘pengganas dikehendaki’ yang menjual senjata untuk tujuan keganasan, manakala dua individu lain turut ditahan dalam kejadian terbabit.
Seorang pegawai Palestin turut mengesahkan bahawa tiga orang terbunuh dalam serangan terbabit.
“Tiga orang dibunuh dan mayat mereka kini ditahan oleh tentera Israel,” kata Gabenor Tubas, Ahmad al-Asaad, kepada AFP.
Keganasan di Tebing Barat yang diduduki Israel sejak 1967 semakin meningkat sejak perang di Gaza tercetus pada Oktober 2023 dan bertambah ketara sejak gencatan senjata dipersetujui di Gaza.
Rabu lalu menandakan 30 hari sejak tentera Israel memulakan serangan ke atas Jenin yang kemudian merebak ke bahagian lain di utara Tebing Barat, termasuk Tulkarem dan kem pelarian Nur Shams.

Ketua jawatankuasa perkhidmatan kem Jenin, Mohammed al-Sabbagh, berkata sekurang-kurangnya 26 rakyat Palestin terbunuh di Jenin sejak 21 Januari.
“Kami tidak tahu apa yang sedang berlaku di dalam kem, tetapi terdapat kemusnahan berterusan dan jalan-jalan sedang dikorek,” katanya.
Bercakap kepada pemberita pada Selasa, Datuk Bandar Jenin, Mohammed Jarrar, berkata tentera Israel ‘menggunakan corak pemusnahan secara rambang’ di kem dan kawasan sekitarnya bagi menjadikannya ‘tidak boleh didiami’.
Pemindahan besar-besaran rakyat Palestin dari pelbagai bahagian Tebing Barat dalam beberapa minggu kebelakangan ini menandakan operasi pemindahan terbesar dalam beberapa dekad.
Menurut angka daripada Pihak Berkuasa Palestin, kira-kira 17,000 orang kini telah dipaksa keluar dari kem pelarian Jenin, menjadikannya hampir kosong.
Di Nur Shams, 6,000 orang, atau kira-kira dua pertiga daripada penduduknya, telah dipaksa keluar, manakala 10,000 lagi meninggalkan kem Tulkarem.

Menurut kiraan AFP, berdasarkan angka daripada Kementerian Kesihatan Palestin di Ramallah, sekurang-kurangnya 897 warga Palestin, termasuk pejuang terbunuh akibat serangan tentera Israel sejak perang Gaza tercetus pada Oktober 2023.
Dalam tempoh yang sama, sekurang-kurangnya 32 warga Israel, termasuk anggota tentera, maut dalam serangan atau pertempuran dengan Palestin di Tebing Barat, menurut angka rasmi Israel.
Kejadian itu berlaku ketika Israel meneruskan serangan selama beberapa minggu yang memusnahkan rumah serta merosakkan infrastruktur penting di kem pelarian di Tebing Barat.
Puluhan ribu warga Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka di kem pelarian Tebing Barat akibat serangan anti-keganasan berskala besar oleh Israel, yang bermula pada 21 Januari lalu di bandar Jenin, Tebing Barat.
Israel menganggap Tebing Barat sebagai sebahagian daripada medan perang bagi menentang kumpulan yang disokong Iran di sekitar sempadannya dan meningkatkan serangan selepas mencapai gencatan senjata dalam perang di Gaza menentang pejuang Hamas.
Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) yang ditadbir Donald Trump sudah menghentikan semua pembiayaan kepada pasukan keselamatan Pihak Berkuasa Palestin (PA) sebagai sebahagian daripada pembekuan bantuan asing AS secara global. – Berita Harian