Perdana Menteri Israel memaklumkan ratusan tahanan Palestin hanya akan dibebaskan jika Hamas mengesahkan proses pertukaran tahanan berikutnya.
Pejabat Benjamin Netanyahu juga enggan Hamas mengadakan majlis pertukaran tahanan yang “memalukan” di Gaza, lapor AP.
Kenyataan yang dikeluarkan Netanyahu awal hari ini susulan kenderaan yang biasa mengiringi bas tahanan berpatah balik menuju Penjara Ofer.
Pembebasan 620 tahanan Palestin tertangguh beberapa jam selepas Hamas membebaskan enam tahanan semalam yang merupakan pembebasan teramai sepanjang fasa pertama gencatan senjata.
Israel mengecam pembebasan tahanan semalam selepas Hamas menunjukkan video dua tahanan yang belum dibebaskan menyaksikan upacara itu.
Katanya, upacara itu menjatuhkan maruah tahanan dan dijadikan alat propaganda Hamas.
Waris yang berada di Tebing Barat setia menunggu pembebasan tahanan dalam keadaan kesejukan walau belum menerima berita positif dari Israel.
Hamas semalam membebaskan tiga tahanan yang ditahan ketika Festival Muzik Nova pada 7 Oktober 2023 dan dua lagi tahanan yang ditahan ketika memasuki Gaza pada 2014.
Seorang tahanan, Shem Tov dilihat mencium kepala dua pejuang Hamas sambil menunjukkan keceriaan kepada hadirin.
Hamas dijangka menerima 620 tahanan termasuk 151 tahanan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana cubaan menyerang Israel.
Daripada jumlah itu, hampir 100 tahanan akan dipindahkan dari Palestin termasuk Nael Barghouti yang ditahan sejak 45 tahun lalu kerana membunuh pemandu bas Israel.
Berdasarkan perjanjian, 620 tahanan Palestin akan dibebaskan termasuk 445 lelaki, 23 remaja dan seorang wanita yang masih belum dituduh di mahkamah. – TV Pertiwi