Jurucakap Hamas, Hazem Qassem pada Sabtu menegaskan bahawa tiada sebarang kemungkinan untuk pejuang di Rafah menyerah diri atau meletakkan senjata, meskipun puluhan pejuang masih terperangkap di dalam terowong bawah tanah di bandar selatan Gaza itu.
“Dalam prinsip kami, tidak wujud konsep menyerah diri atau menyerahkan senjata kepada penjajah,” kata Qassem, sambil menegaskan bahawa “penjajah tidak akan memperoleh sebarang imej penyerahan daripada para pejuang di Rafah.”
Beliau menuduh penjajah Israel enggan berurusan dengan para pengantara Mesir dan Amerika yang berusaha menyelesaikan apa yang digambarkannya sebagai “krisis buatan”, sambil memberi amaran bahawa sebarang percubaan Israel untuk mengeksploitasi keadaan itu boleh mengancam gencatan senjata semasa.
Ketegangan terkini berpunca daripada perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada 10 Oktober 2025, selepas tentera penjajah Israel menguasai lebih separuh daripada Gaza.
Walaupun terdapat kemajuan dalam rundingan pertukaran tahanan dan permulaan usaha awal pembinaan semula, Rafah terus menyaksikan pertempuran berkala serta tuduhan balas mengenai tanggungjawab terhadap serangan terkini.
Anggaran tentera penjajah Israel mendakwa antara 150 hingga 200 pejuang Briged al-Qassam terperangkap di dalam terowong bawah Rafah dan berdepan kekurangan bekalan yang serius. – Dunia Palestin