Ahli Parlimen UK desak Duta Israel diusir

Ahli Parlimen Bebas, John McDonnell.

Seorang ahli parlimen Britain menggesa pengasingan ekonomi dan ketenteraan terhadap Israel untuk mencapai “beberapa bentuk penyelesaian melalui rundingan”. Turut dicadangkan supaya duta Israel ke United Kingdom (UK) diusir, lapor Agensi Anadolu.

Ahli Parlimen Bebas, John McDonnell menyorot keadaan yang semakin kritikal di Semenanjung Gaza, terutama ketika musim sejuk yang mencabar.

“Kita telah menyaksikan sepanjang tempoh Krismas ketika kita meraikan bersama keluarga, keadaan kanak-kanak yang kelaparan dan mati kesejukan akibat tindakan Israel,” katanya.

Bercakap di Dewan Rakyat, hari ini, McDonnell berkata bahawa satu-satunya penyelesaian yang pernah digunakan sebelum ini adalah “pengasingan total terhadap sesebuah negara,” dari segi ekonomi dan ketenteraan, untuk menghalang mereka daripada melakukan jenayah perang seperti yang dilakukan oleh Israel.

“Saya fikir kerajaan ini boleh mengambil peranan utama dalam pengasingan Israel untuk membawa kepada beberapa bentuk penyelesaian melalui rundingan,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai kenyataan dan pendirian kontroversi Duta Besar Israel ke UK Tzipi Hotovely, yang juga penyokong “Greater Israel”.

“Kita mempunyai seorang Duta Israel yang juga penyokong Greater Israel, enggan mengiktiraf negara Palestin, menentang semua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah diluluskan mengenai cara kita boleh mencapai keamanan itu dan beliau masih kekal di negara ini. Mengapa kita tidak mengusir Duta Israel?” soalnya.

Hotovely mencetuskan kemarahan beberapa kali sejak 7 Oktober 2023 dengan kenyataan kontroversi seperti mendakwa tiada krisis kemanusiaan di Gaza dan mengatakan Israel tidak mengebom orang awam di Gaza.

Sebagai tindak balas, Menteri Asia Barat, Hamish Falconer berkata: “Memang menarik untuk berfikir bahawa, jika kita saja kita mempunyai wakil yang lebih sesuai secara politik, maka keadaan akan menjadi lebih mudah.”

Beliau menambah: “Terdapat perbezaan pendapat antara kerajaan Britain dan kerajaan Israel mengenai pelaksanaan perang di Gaza dan implikasi kemanusiaan yang berkaitan dengannya.”

Falconer turut menyatakan bahawa kerajaan akan terus menyatakan ketidaksetujuan itu melalui semua saluran – baik melalui Duta Israel mahupun secara langsung kepada kerajaan Israel – dan akan terus berbincang dengan kerajaan Israel mengenai isu itu.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Parti Buruh untuk Coventry South, Zarah Sultana menyatakan sokongan terhadap gesaan McDonnell untuk mengusir Duta Israel.

“Saya bersetuju dengan @johnmcdonnellMP: Usir Duta Besar Israel SEKARANG,” tulisnya di platform X.

Tentera Israel terus melancarkan perang genosid terhadap wilayah itu yang telah mengorbankan hampir 46,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Okt 2023, walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa gencatan senjata segera.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang di wilayah itu.

TAG: Hamish Falconer, Israel, John McDonnell, Palestin, Tzipi Hotovely, UK – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas tetap tuntut Israel henti serang Gaza jika mahu tebusan dibebaskan

Next Post

Angka kematian di Gaza akibat serangan Israel melebihi 46,000 orang

Related Posts