Hamas tetap tuntut Israel henti serang Gaza jika mahu tebusan dibebaskan

Kanak-kanak Palestin berjalan melewati runtuhan rumah yang musnah akibat serangan Israel sebelum ini di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. – Foto REUTERS

Pejuang Hamas menegaskan tuntutannya bahawa Israel mesti menghentikan sepenuhnya serangan ke atas Gaza bagi sebarang perjanjian pembebasan tebusan.

Kumpulan itu turut menyifatkan kenyataan Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebagai terburu-buru apabila beliau menyatakan akan ada ‘akibat yang besar’ jika tebusan tidak dibebaskan sebelum pelantikannya pada 20 Januari ini.

Pejuang kumpulan Islam itu dan Israel sudah mengadakan rundingan dengan Qatar dan Mesir selaku pengantara dalam usaha paling intensif sejak beberapa bulan kebelakangan ini bagi mencapai gencatan senjata di Gaza.

Pentadbiran AS yang bakal berakhir menyeru satu usaha terakhir untuk mencapai perjanjian sebelum Joe Biden meninggalkan jawatan dan ramai di rantau itu melihat pelantikan Trump sebagai tarikh akhir tidak rasmi.

Namun, dengan masa semakin suntuk, kedua-dua pihak saling menuding jari dan menuduh pihak lain menggagalkan perjanjian dengan menetapkan syarat yang telah membantutkan semua usaha damai sebelumnya selama lebih setahun.

Hamas menyatakan pihaknya hanya akan membebaskan baki tebusannya jika Israel bersetuju untuk menamatkan peperangan dan menarik balik semua tenteranya dari Gaza.

Israel pula menegaskan bahawa ia tidak akan menamatkan peperangan sehingga Hamas dilumpuhkan dan semua tebusan dibebaskan, malah turut mempersoalkan berapa lagi baki tebusan yang masih hidup.

Pasukan penyelamat dan orang awam memindahkan mangsa serangan Israel ke atas sebuah rumah di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. – Foto AFP

“Hamas adalah satu-satunya halangan kepada pembebasan tebusan,” kata Ketua Pengarah Kementerian Luar Israel, Eden Bar Tal, dalam satu taklimat bersama wartawan, sambil menyatakan bahawa Israel komited sepenuhnya untuk mencapai perjanjian.

Pejuang Hamas, Osama Hamdan, yang mengadakan sidang akhbar di Algiers, pula menyatakan bahawa Israel bertanggungjawab menggagalkan semua usaha untuk mencapai perjanjian.

Walaupun tidak memberikan butiran mengenai rundingan terkini, beliau menegaskan semula syarat Hamas iaitu ‘penghentian sepenuhnya kezaliman dan pengunduran sepenuhnya dari tanah yang diduduki oleh penjajah’.

Mengulas ancaman Trump bahawa akan ada ‘akibat yang besar’ jika semua tebusan tidak dibebaskan sebelum pelantikannya, Hamdan berkata: “Saya berpendapat bahawa presiden AS perlu membuat kenyataan yang lebih berdisiplin dan diplomatik”.

Israel sudah menghantar sekumpulan pegawai ke Qatar untuk rundingan yang diusahakan oleh perantara Qatar dan Mesir.

Beberapa laporan media Arab mengatakan David Barnea, ketua Mossad, yang memimpin rundingan, dijangka menyertai mereka. Pejabat perdana menteri Israel tidak memberi komen.

Dalam satu langkah penting ke arah perjanjian, seorang pejuang Hamas memberitahu Reuters pada Ahad bahawa kumpulan itu bersetuju untuk membebaskan senarai yang dihantar oleh Israel membabitkan 34 tebusan yang boleh dibebaskan dalam fasa pertama gencatan senjata.

Orang ramai memeriksa lokasi serangan Israel ke atas sebuah rumah di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. – Foto AFP

Sebagai balasan, Israel akan membebaskan sekumpulan penduduk Palestin yang kini ditahan di penjara mereka.

Senarai itu termasuk askar wanita Israel, serta warga tua, wanita, dan kanak-kanak. Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata Israel setakat ini belum menerima sebarang pengesahan sama ada individu terbabit dalam senarai itu masih hidup atau sebaliknya.

Dalam pada itu, serangan tentera Israel yang tidak mempedulikan bahawa rundingan gencatan senjata sedang berlangsung, mengorbankan sekurang-kurangnya 24 rakyat Palestin di seluruh Semenanjung Gaza pada Selasa.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan di wilayah yang dikendalikan Hamas menggesa penderma antarabangsa segera membekalkan bahan api untuk menggerakkan penjana elektrik dan mengekalkan perkhidmatan perubatan.

Tentera Israel tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan komen mengenai serangan tersebut.

Menurut tentera, 240 rakyat Palestin yang ditahan dalam serbuan di Hospital Kamal Adwan di utara Gaza bulan lalu telah memberikan ‘maklumat risikan yang penting’.

Tentera Israel turut mengeluarkan rakaman soal siasat seorang lelaki didakwa sebagai pejuang Hamas, yang memberikan perincian tentang bagaimana pergerakan itu ‘beroperasi dari kawasan hospital’ dan memindahkan senjata ke lokasi terbabit.

Hamas dan Kementerian Kesihatan Gaza menafikan sebarang kehadiran pihak bersenjata di hospital berkenaan. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tiga pendatang Israel maut dalam insiden tembakan di Tebing Barat

Next Post

Ahli Parlimen UK desak Duta Israel diusir

Related Posts