Tentera Israel dan perkhidmatan kecemasan mendakwa tiga warga Israel terkorban, manakala lapan yang lain cedera selepas penembak bersenjata melepaskan tembakan ke arah sebuah bas dan kenderaan lain di Tebing Barat, semalam.
Keganasan di Tebing Barat, termasuk serbuan tentera Israel, serangan oleh peneroka dan serangan Palestin ke atas warga Israel, telah meningkat sejak perang di Gaza meletus pada 7 Oktober 2023.
Penyedia perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom, melaporkan bahawa paramedik mengesahkan kematian tiga mangsa, termasuk dua wanita dan seorang lelaki selepas insiden tembakan berhampiran kampung Al-Funduq, semalam.
Tentera Israel memberitahu AFP bahawa ketiga-tiga mangsa memegang kewarganegaraan Israel dan pihaknya sedang memburu pihak yang melakukan serangan terbabit.
Ketua tentera Israel, Leftenan Jeneral Herzi Halevi, yang berada di lokasi serangan, berkata pihaknya akan meningkatkan usaha memerangi pengganas bersenjata di Tebing Barat.
“Bagi pengganas yang melancarkan serangan itu, waktu mereka semakin hampir,” katanya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan berkata, beliau berikrar untuk mengesan pembunuh kejam berkenaan dan membawa mereka serta sesiapa yang membantu mereka ke muka pengadilan.
“Tiada seorang pun akan terlepas,” katanya.
Adom berkata, pihaknya memberikan rawatan kepada lapan individu yang berada di dalam bas, termasuk pemandu yang berada dalam keadaan kritikal.
Dua wanita yang terkorban dalam insiden tembakan itu berusia dalam lingkungan 60-an, manakala lelaki yang terkorban berusia sekitar 40 tahun, menurut perkhidmatan perubatan.
Halevi mendakwa mangsa lelaki itu adalah seorang pegawai polis.Di utara Al-Funduq, majlis perbandaran kampung Hajja melaporkan bahawa kawasan mereka diserang oleh peneroka Israel pada semalam.
“Peneroka menyerang bahagian timur kampung pada waktu malam, membakar dua kenderaan dan memecahkan tingkap beberapa buahrumah,” kata ketua majlis perbandaran Hajja, Amjad Bassalat.
Terdahulu, tentera Israel mendakwa bahawa pihaknya melakukan sekatan jalan raya dan mengepung bandar-bandar berhampiran Al-Funduq untuk memberkas penembak.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata beliau sudah mengarahkan tentera untuk bertindak dengan kekuatan bagi mencari pelaku insiden berkenaan dan menegaskan bahawa sesiapa yang membenarkan atau menyokong pembunuhan dan tindakan mencederakan Yahudi akan menerima akibat buruk.
Dalam pada itu, Hamas berkata serangan tembakan itu mengesahkan bahawa penentangan di Tebing Barat akan berterusan walaupun menghadapi keganasan dan langkah keselamatan penjajah.
Dalam satu kenyataan, Hamas menyifatkan serangan itu sebagai tindak balas heroik terhadap jenayah yang berterusan dan perang pembasmian yang dilakukan oleh peneroka Israel terhadap rakyat Palestin. – Berita Harian