Gerakan Perjuangan Islam (Hamas) menegaskan bahawa operasi penentangan di Tebing Barat tidak akan berhenti meskipun berdepan serangan berterusan rejim Zionis dan tindakan pihak berkuasa Palestin yang memburu para pejuang.
Pemimpin Hamas, Mahmoud Mardawi berkata, langkah keselamatan ketat oleh rejim Israel tidak akan membawa keselamatan kepada tenteranya mahupun pendatang haram Israel.
“Rakyat Palestin tetap berpegang teguh dengan pilihan perlawanan dan ketabahan walau apa jua pengorbanan yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengecam tindakan pihak berkuasa keselamatan Palestin di Jenin yang didakwa berusaha menamatkan gerakan perlawanan melalui operasi pemburuan dan pembunuhan pejuang yang menentang pendudukan Israel.
“Tindakan pihak berkuasa di Jenin ini jelas tidak boleh diterima dan perlu dihentikan serta-merta kerana ia hanya menguntungkan pihak penjajah,” tegas Mardawi.
Dalam pada itu, beliau menggesa pihak berkuasa Palestin supaya menghentikan operasi memburu pejuang dan sebaliknya memperkukuh perpaduan nasional bagi menghadapi ancaman rejim Israel.
Beliau juga menyifatkan tindakan itu berlaku pada waktu yang mencurigakan ketika kerajaan Israel sedang berusaha untuk menggabungkan Tebing Barat dan mengusir penduduk Palestin.
Mardawi turut menggesa semua pihak, termasuk kumpulan dan fraksi politik Palestin, agar mengambil pendirian tegas terhadap perkembangan di Jenin dan menekan pihak berkuasa Palestin supaya menghentikan operasi mereka. – Dunia Palestin