Lebih 800 guru Palestin dibunuh dan lebih 3,300 lagi cedera akibat serangan Israel sejak bermulanya genosid di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, menurut Kementerian Pendidikan Palestin pada Ahad, lapor Anadolu.
Dalam satu kenyataan sempena Hari Guru Sedunia yang disambut setiap tahun pada 5 Oktober, kementerian itu berkata para pendidik di seluruh wilayah Palestin yang dijajah kini berdepan “pertempuran sebenar untuk terus hidup” dalam usaha mempertahankan hak terhadap pendidikan di tengah-tengah tindakan menyasarkan mereka secara sistematik.
Kementerian itu berkata sektor pendidikan di Gaza dan Tebing Barat telah mengalami “genosid menyeluruh” sejak bermulanya genosid Israel terhadap Gaza.
Menurut kementerian itu, lebih 170 guru masih ditahan dalam “keadaan yang teruk”.
Kementerian itu turut berkata sekatan pergerakan dan gangguan di ratusan pusat pemeriksaan telah menambahkan penderitaan harian para pendidik, khususnya di Masafer Yatta, selatan Hebron, kampung al-Mughayyir di tengah Tebing Barat, Lembah Jordan serta kawasan yang diklasifikasikan sebagai Kawasan C. – Dunia Palestin