Gerakan Hamas menggariskan 11 penegasan sempena ulang tahun ketiga operasi Taufan al-Aqsa, termasuk menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentang penjajahan sehingga tanah air dan tempat suci mereka dibebaskan.
Dalam kenyataan sempena ulang tahun operasi yang dilancarkan pada 7 Oktober 2023 itu, Hamas menyifatkan Taufan al-Aqsa sebagai satu bab bersejarah dalam perjuangan rakyat Palestin serta kemuncak kepada penderitaan yang mereka lalui selama beberapa dekad.
Hamas berkata rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis terus menunjukkan keteguhan dalam menghadapi rancangan pengusiran dan genosid, termasuk melalui kepulangan beramai-ramai ke kawasan kediaman mereka yang musnah.
Menurut Hamas, Taufan al-Aqsa merupakan tindak balas terhadap pencerobohan, sekatan, pembunuhan, perampasan hak serta usaha mengubah status tanah dan tempat suci Palestin.
“Percubaan penjajah dan para pendukungnya untuk menggambarkan perjuangan ini seolah-olah bermula pada 7 Oktober merupakan penyelewengan realiti dan puncanya,” menurut kenyataan itu.
Hamas turut mendakwa tempoh tiga tahun konflik telah mendedahkan sifat sebenar Israel, dengan menyatakan lebih 74,000 rakyat Palestin terbunuh dan 175,000 cedera, selain puluhan ribu tahanan serta ribuan individu yang masih hilang.
Gerakan itu juga mendakwa pembunuhan dan sekatan terhadap rakyat Palestin terus berlaku selepas perjanjian gencatan senjata, dengan hampir 1,500 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 5,000 cedera sejak perjanjian tersebut berkuat kuasa.
Dalam pada itu, Hamas menggariskan peningkatan tekanan antarabangsa terhadap Israel melalui kempen boikot serta tindakan terhadap institusi akademik, ekonomi dan keselamatannya.
Berikut ialah 11 penegasan utama Hamas:
- Memuji keteguhan rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis serta pengorbanan mereka dalam menghadapi penjajahan dan rancangan pengusiran.
- Menyifatkan Taufan al-Aqsa sebagai tindak balas terhadap penderitaan berdekad-dekad, termasuk pencerobohan, sekatan, pembunuhan dan perampasan hak rakyat Palestin.
- Mendakwa tiga tahun konflik mendedahkan sifat sebenar Israel, termasuk melalui kempen ketenteraan yang menurut Hamas mengakibatkan puluhan ribu kematian dan kemusnahan besar-besaran di Gaza.
- Mendakwa genosid masih berterusan melalui pembunuhan, sekatan dan penghalangan keperluan asas kehidupan, yang disifatkan Hamas sebagai “genosid senyap”.
- Mendakwa legitimasi Israel semakin terhakis di peringkat antarabangsa serta sokongannya, termasuk dalam kalangan sekutu tradisionalnya di Barat, semakin merosot.
- Menyeru pembentukan strategi perjuangan Palestin yang bersatu dengan penyertaan semua komponen dan kuasa Palestin bagi menghadapi dasar kerajaan Israel.
- Mengalu-alukan peningkatan kempen boikot antarabangsa terhadap Israel dan institusi akademik, ekonomi serta keselamatannya.
- Menegaskan komitmen Hamas dan faksi penentangan terhadap perjanjian gencatan senjata, selain menyeru Amerika Syarikat dan para pengantara memastikan Israel memenuhi kewajibannya serta melaksanakan pelan tindakan yang dipersetujui.
- Menyeru Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengambil tindakan terhadap pihak yang didakwa bertanggungjawab terhadap jenayah genosid, termasuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan anggota kerajaannya.
- Menyeru negara-negara Arab dan Islam serta masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan dan solidariti terhadap rakyat Palestin serta menyokong hak mereka terhadap kebebasan dan kemerdekaan.
- Menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentang penjajahan, sehingga penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara serta kehidupan bermaruah tanpa sekatan, pengeboman dan ancaman.
Dalam kenyataan sama, Hamas turut memberi penghormatan kepada para syuhada serta mengenang pemimpin-pemimpin yang terbunuh, termasuk Ismail Haniyeh, Saleh al-Arouri, Yahya al-Sinwar dan Mohammed al-Deif.
Hamas menegaskan pengorbanan mereka akan terus menjadi sumber inspirasi dalam perjuangan untuk pembebasan dan kepulangan rakyat Palestin ke tanah air mereka. – Dunia Palestin